Dunia Kecilku

ilashukri.blogspot.com

Wednesday 26 October 2016

[ Bab 3 ] - Dia Bukan Skandal



SEDARI tadi dia asyik tersengeh menayang giginya yang putih bersih. Asyik sungguh dia melihat gambar di skrin iPhone7+ miliknya, sehinggakan langsung tidak sedar yang gelagatnya diperhatikan. Beberapa orang pelanggan yang duduk di meja sebelah juga mencuri pandang ke arahnya.

Gambar gadis manis di skrin iPhone7+ nya itu amat menarik perhatiannya. Sudah dua kali dia bertembung dengan gadis itu. Ya, dia akui gadis itu sangat cantik. Pertama kali bertemu, sudah ada getaran di dadanya. Sudah ada rasa sesuatu yang sukar untuk dia tafsirkan.

Asyik sehingga langsung tidak sedar dua sahabat baiknya sudah duduk di hadapannya. Beberapa kali namanya dipanggil, namun dia masih leka memandang skrin iPhone7+ miliknya.

“Khai!” Jeritan namanya bersama ketukan di meja buat dia tersentak dan duduk tegak. Matanya bulat memandang hadapan.

“Wei, apa jerit-jerit ni?”

“Dah kau sebok dengan skandal kau tu, sampai tak nampak langsung aku dengan Haiqal kat sini.”

“Ye ke? Dah lama ke sampai?” Dia berbasa-basi.

“Hallooo… Air pun dah sampai dah ni haa.” Waiter datang membawa air yang dipesan sahabatnya. Oh, sungguhlah, dia bukan sahaja tidak sedar bila sahabatnya itu sampai, malah juga langsung tidak perasan yang mereka sudah membuat pesanan.

“Dia bukan skandallah.”

“Abis, kalau bukan skandal apa? Orang kalau ada dua phone macam kau ni, satu untuk bisnes, satu lagi untuk skandal. Semua orang tahu tu.”

Dia memandang satu lagi iPhone7+ di atas meja. Ermm.. Dia sendiripun tidak sedar yang dia memiliki dua telefon bimbit. Ya, yang satu itu dia guna untuk tugas pejabat. Company mobile phone, yang dia dapat sebaik pulang ke Malaysia. Dan yang berada di tangannya adalah nombor lama miliknya, yang telah digunanya sejak dua tahun lepas. Nombor peribadinya. Semasa dia mencuri ambil gambar gadis itu, dia snap dari telefon bimbit peribadinya itu.

“Aku sayanglah nak buang nombor lama tu. Lagipun malas nak transfer gambar dalam phone baru tu.” Eceh, cakap saja, walhal dulu dari iPhone6 elok sahaja dia transfer ke iPhone7+.

“Icloud kan ada. Jangan nak temberanglah. Kalau malas pergi saja kedai, suruh orang kedai tolong transferkan. Kalau tak suruh saja PA kau belikan iFlash driver. Itupun nak kena ajar.” Eh, geram pula dia melihat Imran di hadapannya itu. Hendak saja dia luku kepala sahabat baiknya itu, ada saja yang dia hendak bebelkan.

“Tak berat ke kocek kau, dengan dua phone tu? Siapa awek tu, Khai?” Haiqal bersuara setelah sedari tadi dia hanya berdiam dan memerhati.

“Awek mana?” Khairil Izhan buat-buat tidak tahu. Wajahnya di toleh ke kiri kanan.

“Yang kat phone kau tu laa, cantik aku tengok.” Haiqal tersengeh.

“Kau tengok?”

“Ialah, dah kau tenung tak berkerdip, orang intai pun tak perasan. Skandal baru eh?” Haiqal terusan mengusik.

“Dia bukan skandallah. She’s someone very special.” Dahinya berkerut sebaik habis berkata. ‘She’s someone very special?’ Dia cakap begitukah tadi? Maksudnya memang dia sukakan gadis itu? Sampai boleh cakap macam itu pada Haiqal dan Imran?

“Mana kau jumpa?”

Dia meneguk fresh orange miliknya. Perlukah dia bercerita semuanya kepada Haiqal dan Imran? Tapi riak menunggu di wajah kedua sahabatnya itu buat dia serba-salah.
            
“Staf aku. ID department.”

Then, dia tahu yang kau CEO baru?”

“Entah, tak kot, sebab dia tak greet aku macam aku ni CEO. Dia panggil aku mamat muka ketat.” Dia menjongket bahu. Memandang tepat ke dua sahabatnya menunggu riaksi yang bakal dia terima dari penjelasannya tadi.

“Hahahaha!!” Tawa berderai dari mulut Haiqal dan Imran.

“Mamat muka ketat!..” Masih terusan ketawa sehinggakan dia juga turut ketawa.

But she’s so beautiful. First time saja aku dah dapat rasa getar yang semacamlah. Her eyes, her lips, her face.. Walaupun dia pandang aku semacam, dia cakap aku mamat muka ketat, harap muka saja hensem tapi sombong, but, I feel something different..” Tangannya memegang dada, cuba untuk menjelaskan dari perbuatan. Ya, memang dia sudah terpikat dengan stafnya sendiri, Nurin Umaira namanya. Gadis yang secara tidak sengaja terlanggar dia, dan memang apa yang gadis itu katakan langsung tidak pernah terfikir di benaknya.

“Habis tu, kau tak naklah cari budak perempuan tu ya?”

Khairil Izhan menarik nafas dalam.

“Kalau dah jumpa bakal soul mate, aku rasa tak perlu kot. Takut nanti aku berbelah bagi pula. She or her?” Khairil Izhan hanya menjongket kening.

Then, how about Puteri, your future fiancée?” Soalan Haiqal tergantung tidak berjawab.
, ,

Monday 3 October 2016

[ Bab 2 ] - Dia Bukan Skandal



NAMA dia Nurin Umaira, tapi kawan-kawan cuma panggil Umaira atau Mai saja. Seorang yang sangat senang dengan kawan-kawan, ramah dan mudah mesra. Si tinggi lampai ini mempunyai senyuman yang paling manis sekali, dengan tahi lalat pemanis di hujung bibir dan lekuk lesung pipi dia memang menjadi kegilaan ramai lelaki ditambah dengan kulitnya yang putih bersih. Siapa yang memandang pasti akan terpikat.

Namun siapa tahu sehingga kini gadis berusia 25 tahun itu masih belum memiliki teman lelaki istimewa. Bukan tidak ada yang mahu mencuba, namun hatinya masih belum terbuka untuk memiliki kekasih. Mungkin kerana dia masih menunggu pemuda misteri yang selalu dia angankan.

Juita teman akrab dan serumahnya sejak dia bekerja di Mega Holdings datang menghampiri. Umaira yang leka melamun ditepuk bahunya. Tersentak dia dan pantas menoleh. Tudung di kepala dibetulkan. Takutlah senget jadinya bila ditepuk tadi.

“Iskh, kau ni Jue.” Dia mencemek muka.

“Muka cemek tu kalau nampak dek Izzuwan, mau dia duduk depan kau tak berganjak.” Juita menarik kerusi di sebelah. Mencapai mug berisi air kopi kepunyaan Umaira, dan meneguk rakus.

“Eh, minum air aku tak minta izin.”

“Sikit ya, cik Umaira cantik.” Senyum Juita meleret-leret sampai ke telinga.

“Ni kalau Izzuwan rasa air kopi kau buat, tentu dia gila bayang.”

“Ya Allah, Juita. Dah kenapa dari tadi asyik sebut Izzuwan? Kau suka kat dia ke?” Umaira dah bulat mata memandang Juita di sebelah. Jengkel dia mendengar nama Izzuwan disebut berulang kali.

“Si Wan tu kan suka kat kau, dah kenapa aku pula?” Juita kerut dahi.

“Ialah, kalau kau saja yang sebut, tu maknanya kau suka kat dia.”

“Kalau aku suka dia sekalipun, dia dah tentu suka kat kau. Bukan nak dipandangnya aku ni. Dahlah kontot, gemuk pula tu.” Alahai Juita, merendah dirilah sangat. Umaira tarik nafas panjang. Melayan Juita memang apapun tak boleh jadi. Waktu rehatpun sudah hampir berlalu, Umaira hendak ke surau menunaikan solat Zuhor.

“Aku nak solat Zuhor dulu.” Dia menepuk peha Juita. Juita mengangguk.

“Basuhkan mug tu ya, cik Juita dan habiskan airnya.” Tanpa menoleh, Umaira teruskan langkahnya menuju ke lif untuk ke tingkat 10. Dia sudah biasa ke surau sendirian. Kalau adapun dia hanya mengajak Juita, teman serumahnya itu, senang jika dia dicari Juita.

Menekan butang 10, dari pejabatnya di tingkat 8. Kalaulah ada staf lelaki yang bersolat boleh dia minta jadi imam, dapat pahala berjemaah. Nantilah bila sampai di surau dia cuba skodeng.

Dia menjeling jam di tangan. Tentu ramai nanti memandangkan sudah pukul 2 petang. Masing-masing mesti baru lepas makan. Surau yang disediakan syarikat agak luas dan selalu juga ada ceramah dan juga kelas agama.

Siap memakai telekung, Umaira mengintai sedikit di sebalik tirai. Dia nampak seorang staf lelaki baru hendak membentang sejadah. Terpesona seketika dia melihat lelaki itu, walau dari belakang tapi dia nampak sangat segak. Ketika itu juga dua orang lagi memasuki surau dan sudah mengambil sejadah.

“Awak!” Dia sedikit terjerit bila dilihatnya lelaki itu hampir mengangkat takbir. Dilihatnya lelaki itu menoleh kiri kanan, dan kemudian menoleh sedikit ke belakang.

“Sembahyang jemaah boleh?” Suaranya dilontarkan walau mukanya tidak ditunjuk. Bukan semua lelaki sanggup menjadi imam bila diajak solat berjemaah di surau pejabat.

Umaira lihat lelaki itu menoleh ke arah dua lelaki lain yang sudah berdiri di sejadah. “Jemaah?” Lelaki tadi mengangguk dan itu membuatkan Umaira tersenyum. Seronoknya bila nanti dapat suami dan boleh berjemaah bersama. Jika di rumah, dia selalu berjemaah dengan ayah dan adik-beradik lelakinya, maklumlah Umaira ada 6 adik-beradik lelaki, 3 abang dan 3 adik. Dia seorang sahaja perempuan, terselit di tengah.

Beberapa staf perempuan datang memenuhi saf. Alhamdulillah, dapat mereka pahala berjemaah tengahari ni. Usai bersolat Umaira terus memakai tudung. Dia perlu bersegera sebab Tuan Mansur suka buat rondaan melihat staf di bawah seliaannya. Ada sahaja yang dibebelkan jika ada yang tidak kena di matanya.

Umaira bergegas keluar dari surau. Menyarung kasut dan terkocoh melangkah.

“Allah! Maaf, maaf…” Aduh, Umaira terlanggar seseorang lagi. Rasanya kali terakhir dia terlanggar orang, mamat hensem yang sombong tu, minggu lepas rasanya. Ini langgar orang lagi. Ke manakah perginya Umaira yang penuh sopan santun. 

Pastilah lelaki lagi yang dia terlanggar sebab tangannya memang sudah menarik sedikit kemeja yang dipakai, hanya bertujuan untuk mengimbangi dirinya. Lelaki yang lebih tinggi dari dia yang sememangnya memiliki ketinggian seorang model.

“Jalan mata kat mana?” Agak tegas soalan yang diajukan pada Umaira. Dia tidak sanggup hendak mengangkat muka dan memandang lelaki yang dilanggarnya itu. Bau perfume nya menusuk hidung, wangi dan sangat maskulin. Ah, sempat pula Umaira melamun. Kedua lengannya dipegang lelaki itu dan badannya ditolak ke belakang. Eh kasarnya! Marah Umaira dalam hati.

“Maaf ya.” Sekali lagi Umaira memohon maaf, namun mukanya masih tertunduk. Takut hendak mengangkat muka.

Clumsy.” Telinganya sakit mendengar kata lelaki itu. “Eh, saya dah minta maaf okay. Awak tu, harap muka saja hensem, tapi sombong. Mamat muka ketat.” Dia terus berlalu pantas ke lif. Moga-moga lelaki itu tidak ikut dia masuk lif, kalau tidak mahu pitam dibuatnya.

Umaira yakin, dia adalah lelaki yang sama yang dia terlanggar minggu lepas. Kenapalah mesti terlanggar orang yang sama lagi? Dalam ramai-ramai pekerja di Mega Holdings ini kenapa mesti dia juga yang Umaira terlanggar. Bangunan setinggi 12 tingkat ini dengan ada beberapa syarikat lain di dalamnya, kenapa mesti dia. Aduhai, memang sangat memalukan. 

‘Nasib baiklah kau tu sombong. Tak adalah aku nak feeling lovey dovey dengan muka hensem kau tu. Lebih sesuai dipanggil Mamat Muka Ketat.’ Bebelnya di dalam hati. Geramnya!. Ya mulai sekarang lelaki itu adalah Encik Mamat Muka Ketat Yang Sombong Tapi Hensem. Oh, panjangnya.

Tapi rasanya macam dia yang jadi imam tadi, kalau dari suara, dan dari warna kemejanya, macam dia. Umaira jongket kening. Baru tadi dia memuji lunaknya suara, tapi sekarang dia sudah menyampah dan menyumpah berbakul-bakul.


, ,

[ Bab 1 ] - Dia Bukan Skandal


SETIAP kali cuti sekolah, Nurin Umaira suka tinggal dengan atok di kampung. Dahulu arwah atok bekerja sebagai pengawal keselamatan di rumah besar itu. Sangat besar. Arwah atok kata namanya rumah agam. Besar dan luas halamannya. Tentu keluarga yang memiliki rumah itu sangat kaya. Dia suka hendak menghantar bekal kepada arwah atoknya hanya kerana dia ingin mengintai budak lelaki muka ketat itu. Arwah Atok kata lagi, rumah itu sudah dibina hampir 50 tahun lalu. Rumah pusaka keluarga kaya dari Sabah.

Kenapa ya Nurin Umaira selalu ingin nak tahu tentang rumah agam itu dan penghuninya? Tujuannya hanya satu, hanya untuk melihat dengan lebih dekat budak lelaki muka ketat itu. Budak lelaki yang mungkin tua dua atau tiga tahun darinya. Berwajah ketat namun sangat segak. Cukup bergaya seiring dengan status anak orang kaya.

Mereka sempat berpandangan sekali dua, namun tidak pernah bertegur sapa. Mata itu, wajah itu, sentiasa bermain diingatannya. Dia sangat ingin mengenali siapa dia, namanya, atau untuk seumur hidupnya melihatnya sekali lagi. ‘Agaknya bagaimanakah rupanya sekarang? Mungkin sudah semakin tampan.’ Beberapa kali dia hendak bertanya dengan arwah atoknya dahulu, siapa budak lelaki itu, namun dia jadi malu sendiri.

Ah… Nurin Umaira memang suka berangan. Pemuda misteri itu selalu menjadi angannya. Tapi sampai bila dia harus hidup dalam angannya. Dia harus bangkit dan memberi peluang pada dirinya untuk mengenali lelaki lain, bukan menunggu pemuda yang dia sendiri tidak kenal siapa.

“Mai!” Dia berpaling, kuat sungguh jeritan itu di telinganya. Kepala digeleng beberapa kali, cuba menghilangkan rasa bingit tadi.

“Ishk, kau ni memang suka melamunkan? Dah besar macam nipun masih nak berangan macam budak kecil.”

“Bila pula aku berangan?” Dia pamer wajah tak bersalah.

“Ni apa?” Dia beralih ke arah yang ditunjuk. Oh, Nurin Umaira. Dia lukis kartun lidi lelaki dan perempuan sedang berpegangan tangan.

“Aku rasa, kau ni dah patut kahwinlah Mai. Kuat sangat angan kau ni.” Mereka sama-sama tertawa.

“Eh Mai, kau dah jumpa CEO baru kita?”

“Belum.”

Cold like ice. Itu yang aku dengar dari staf lain.”
        
“Betul ke Jue? Hensem tak?”

“Itu aku tak tahu sebab akupun belum pernah tengok dia lagi.” Juita melangkah ke tempat duduknya. Waktu rehat sudah hampir berlalu, mereka harus meneruskan kerja yang telah diamanahkan untuk mereka. Bekerja di syarikat gergasi yang menguruskan banyak projek di seluruh negara, mereka perlu fokus yang tinggi.

Mereka menamatkan perbualan hingalah ke waktu balik. Masing-masing bergegas untuk pulang. Juita menggamit Nurin Umaira untuk pulang bersama. Solat dulu. Itu isyarat mulut Nurin Umaira pada Juita. Dia tidak mahu terlepas solat Asar hanya kerana terlewat sampai ke rumah.

Juita mengangguk. “Akukan ABC.” Bisiknya perlahan. “Aku tunggu kat bawah tau.” Nurin Umaira hanya tersenyum. Dia kemudian mengambil beg tangannya dan melangkah laju menuju ke surau.

Dalam tergesa-gesa dia terlanggar seseorang.

Seseorang yang lebih tinggi dari dia, sebab elok sahaja dia terdakap di dadanya.

“Maaf, minta maaf, tak sengaja.” Cepat dia berundur setapak ke belakang. Risau pula kalau ada yang salah sangka nanti. Matanya terpandang kesan lipstick pink yang dipakainya di kemaja kuning bata orang yang dilanggarnya. Cuba memandang dengan jelas siapa di hadapan. Seseorang yang dia tidak pernah nampak sebelum ini. Tidak tahu dari tingkat berapa. Maklumlah bangunan ini ada 12 tingkat, ramai pekerjanya.

“Maaf ya.” Dia melempar senyum hanya berniat baik, walau di dalam hatinya berbisik mengatakan mahkluk Allah di hadapannya saat ini sangat sempurna. Bukan sahaja tinggi, berkulit cerah namun mempunyai raut wajah yang sangat menarik.

Senyumannya tidak berbalas. Hanya dengusan kecil yang dia dengar. ‘Sombong. Harap muka sahaja hensem.’ Bisiknya perlahan dan terus memasuki surau perempuan.

Excuse me?” Namun apa yang ditutur lelaki itu tidak dapat didengari Nurin Umaira kerana dia sudahpun menghilang di sebalik pintu.

Usai bersolat dan memakai semula tudungnya, Nurin Umaira melangkah pantas menuju ke lif. Dia harus cepat sebelum ditinggalkan Juita. Kawannya itu bukan suka menunggu lama, nanti ada sahaja yang dibebelkan.

Di lobi dia terpandang seseorang yang dia rasa sedang memerhatikannya. Ah, pedulikanlah si mamat hensem dan sombong tu. Kalau nak kata Nurin Umaira tidak cantik, dia mempunyai raut wajah kemelayuan yang anggun. Sifat peramah dan kemanisan senyumannya, membuatkan dia amat disenangi oleh rakan-rakan. Tanpa memperdulikan pandangan itu dia terus mendapatkan Juita.

, ,