KERETA
dipandu memasuki sebuah rumah berhalaman luas di kampung Nurin Umaira di Kulai.
Rumah kampung, tapi sudah diubahsuai. Luas halamannya, besar juga rumahnya.
Seorang pemuda menunggu di pintu. Adik Nurin Umaira, mungkin. Dan bila ayah
Nurin Umaira yang keluar dari sebelah pemandu, pemuda itu berlari mendekat.
“Ayah beli kereta baru?”
“Eh, bukanlah. Ni kereta bos kakak.”
Bos kakak? Alahai uncle, cakaplah boyfriend kakak ke. Tak seronok saja
bunyinya.
“Dah kenapa bawa balik kereta bos
kakak? Bukan kakak dah tukar kerja ke? Dia tu siapa?” Mata mereka bertentangan
seketika, Khairil Izhan tersenyum manis.
“Itulah bos kakak. Dia datang
bercuti kat sini.”
“Ayah ni pelik-pelik sajalah. Kakak
bukan ada kat sini, siapa nak layan dia nanti? Bibir dia kenapa tu, lebam ke?”
“Kamu ni Bob, dahlah tak ajak orang
masuk, asyik nak tanya itu ini. Dah Khai, mari masuk dulu, jangan dilayan Bob
ni.” Sesekali sahaja mendengar suara ibu Nurin Umaira. Namun dia tetap dilayan
mesra, walau pandangannya sesekali kelihatan mencurigakan.
“Ialah kenapa bawa balik bos kakak?
Kakak bukannya ada.” Katanya terhenti dan matanya tepat memandang Khairil Izhan
seolah mengingati sesuatu.
“Ohhh… Bos kakak, skandal kakak? Ini
ke CEO tu? Ah, hensemlah bu. Sesuai dengan kakak. Abang boleh main bola sepak?
Takraw? Karom?” Dari wajah penuh tanda tanya kini sudah bertukar ke wajah penuh
keterujaan.
“Futsal dengan karom tu boleh, tapi
takraw tak berapa pandailah.”
“Orang London mana main takraw,
Bob.” Suara ayah Nurin Umaira yang kemudian menghilang di sebalik dinding.
Ialah, tinggal di kampung tentu anak muda belasan tahun seperti Bob akan banyak
menghabiskan masa berseronok dengan kawan-kawan di padang. Jika dahulu sewaktu
di London, dia hanya suka bermain bola tampar atau bola keranjang. Ada juga dia
bermain ragbi, tapi dia lebih gemar mengembara menuntut ilmu dari sebok
bersukan.
“Nanti petang Bob bawa abang pergi
tengok orang main takraw. Beg abang mana?” Khairil Izhan hampir tepuk dahi. Dia
terlupa beg bajunya di bonet belakang.
“Ada. Sekejap abang ambil.”
“Bibir abang tu kenapa?” Masih
sempat lagi Bob nak bertanya.
“Hadiah perkenalan dari Angah tu. Ayah
nak dia tidur sini seminggu. Nak tengok skandal kakak kamu ni, boleh ke dia
jaga kakak. Boleh ke orang kaya duduk rumah macam kita, pandai tak dia mandi
air perigi. Pandai tak dia bergaul dengan orang kampung, orang masjid. Nak anak
pak cik, Khai kena biasakan diri dengan semua tu.”
Pergh. Khairil Izhan rasa nak pitam mendengarnya.
Jika sedari tadi ayah Nurin Umaira hanya berbual kosong dengannya, kini
kata-kata tegas yang keluar dari mulutnya memang buat Khairil Izhan rasa macam
nak tercekik sekarang ni.
“Sebenarnya Bob tak faham, apa
maksud skandal tu?”
“Ishk, jangan sebutlah perkataan skandal
tu Bob. Buat malu jer, kasihan kat kakak.”
“Aah, tahu kamu malu, kasihan kat
Umaira ya, Khai. Masa kamu bawa dia sana sini kamu tak kasihan, kamu tak fikir
macam-mana esok lusa kalau orang dapat tahu. Macam-mana reaksi keluarga dia,
macam-mana tanggapan orang sekeliling, macam-mana nasib yang bakal terjadi esok
hari.” Jelingan mata ibu Nurin Umaira rasanya bagaikan panah terus tembus pada
jantung Khairil Izhan. Argghh… Sakitnya tak boleh nak kata. Itulah khilaf
Khairil Izhan yang buat sesuatu tidak berfikir panjang.
“Maafkan Khai, mak cik, pak cik,
Bob.. Kalaulah Khai boleh tebus semuanya.. Hari ni pun Khai sanggup buat apa
sahaja, asal jangan suruh Khai lupakan atau jauhi Nurin Umaira sudahlah.”
Wajahnya sudah tertunduk.
Dia kemudiannya bersandar di sofa,
menahan satu rasa di dalam hatinya. Dan dia juga tertanya kenapa dia buat semua
itu. Kenapa dia tidak berfikir baik buruk. Dia bukan tidak ada didikan agama,
dia juga mendalami ilmu di Mesir, tapi kenapa dia cepat terpedaya dengan ajakan
syaitan. Yang menjadi mangsanya Nurin Umaira, kasihan gadis manis itu. Rindunya
dia pada seraut wajah cantik itu, tentu dia sedang bersedih sekarang ini.
“Pergi rehat dulu kat bilik Umaira.
Maghrib nanti kita solat kat Masjid.”
“Jom abang, kita naik motor
ronda-ronda kampung.” Tangannya terus di tarik Bob. Mungkin sebab anak bongsu,
Bob agak manja sedikit. Bila ditanya usianya, katanya sudah 17 tahun, tapi dari
gaya macam baru 12 tahun sahaja.
Dari Bob dia mengenali semua
adik-beradik Nurin Umaira. Jika tadi dia takut hendak bertanya dengan si ayah,
kini banyak soalan dia ajukan kepada Bob.
Haris, Farid, Fattah adalah abang
kepada Umaira, mereka semua sudah berkahwin dan tinggal di KL dan Kuantan.
Hafiz, Luqman dan Bob adik lelaki Umaira. Hafiz dan Luqman menuntut di
Universiti Utara Malaysia, cuma Bob sahaja yang belum menyambung pelajaran.
Tapi khabarnya, Hafiz dan Luqman
akan pulang bercuti esok. Dapatlah dia mengenali dua beradik itu nanti.
“Kak Umaira pernah panjat pokok tu
tau, abang. Dia lebih ganas dari kami semua. Dulu ada seorang lelaki ni suka
kat dia, tapi bila datang beraya, tengok abang-abang kak Umaira, terus dia tak
jadi nak mengurat. Dia kata abang Farid garang. Mana ada garang, misai dia saja
yang nampak garang.”
“Kak Umaira cantik. Orang kampung
suka kak Umaira. Ramai dah pinang kak Umaira, tapi dia tak nak, dia kata dia
dah ada boyfriend. Tapi bila tanya
mana orangnya, tak adalah pula dia nak bawa balik kenal kat family.”
“Abang tahu, sebab dia dah berjodoh
dengan abang. Abanglah boyfriend dia
tu.”
“Hah, cliche lah abang ni.”
Mereka tertawa. Ialah Bob, betullah tu,
memang Nurin Umaira sudah berjodoh dengan Khairil Izhan. Kami sudah berjodoh
dari kecil.
“Abang memang betul-betul sayang kak
Umaira ke?”
“Betullah. Kenapa?”
“Ialah, abang kaya, abang duduk London.
Kakak tu, orang kampung. Tak baik kalau abang main-mainkan kakak. Ayah memang
sayangkan kakak sangat, dia sentiasa tanya khabar kakak. Kak Umaira sakitpun
dia tahu. Tak tahu dari mana abang Farid dapat gambar kakak, teruk kakak kena
marah. Sampai ayah suruh berhenti kerja. Bila kakak kena pergi Kuala Terengganu
ayah sanggup turun KL sebab nak tengok kakak. Abang jangan main-mainkan kakak
tau, dia satu-satunya permata dalam keluarga kami. Kami semua sayang kakak.”
Wajah Bob Khairil Izhan pandang lama.
Nafasnya dihela perlahan. Abang janji abang akan jaga kakak seperti menjaga
diri abang sendiri. Abang sayangkan kakak, abang cintakan kakak. Bob
percayalah. Abang tak akan sia-siakan kakak. Abang akan jadi pelindung kakak,
superhero kakak, lelaki terakhir kakak, Imam kakak, pemandu kakak ke syurgawi.
“Kakak tak pernah ikut lelaki, tak tahu
macam-mana dia boleh ikut abang.” Bob masih dengan cerita tentang Nurin Umaira.
“Mungkin betullah agaknya memang abang dan kakak ni berjodoh. Cuma permulaan
cerita jodoh abang dan kakak ni tak berapa elok. Ayah pesan tadi, jangan ada
sesiapapun beritahu kakak, abang ada kat sini. Takut kakak marah. Jadi abangpun
jangan memandai nak beritahu kakak pulak.”
“Kakak kat Kuala Terengganu ya, Bob?”
“Aah, tak akanlah abang tak tahu?”
“Semua orang tak beritahu abang.”
“Kat resort apa entah namanya, ibu kata,
kakak kena ganti orang cuti bersalin kat sana.”
“Ohh…” Khairil sudah tahu tempatnya.
Senyuman terukir lebar di bibir. Alahai. Kat situ rupanya kesayangan hatinya
itu. Sabarlah duhai hati, seminggu bukannya lama sangat. Ke Kuala Terengganu
pulalah kita nanti.
No comments:
Post a Comment