NURIN
Umaira disambut seorang perempuan hamil dan seorang lelaki di airport. Dia memang tak kenal sesiapa di
Kuala Terengganu ini. Mereka memperkenalkan diri sebagai Zulaikha, pengurus
yang akan mula cuti bersalin dua hari sahaja lagi dan suaminya Zakwan. Mereka kemudiannya membawa Umaira makan dan
berjalan-jalan di dalam kawasan resort.
“Tak apalah Zue, saya dah biasa
tinggal seorang. Lagipun resort dekat
saja dengan rumah.” Dia sengaja memilih rumah pekerja di taman perumahan itu
dari memilih rumah di dalam kawasan resort,
biar dia tidak sentiasa diperhatikan. Lagipun dia benar-benar ingin menyendiri
sekarang ini. Ingin membawa hatinya yang kecewa.
“Betul ni?”
Umaira hanya mengangguk.
Berkali-kali Zulaikha dan suaminya mengajak dia bermalam di rumah mereka
sahaja, memandangkan Umaira pasti penat dengan perjalanan.
“Kita jumpa esok, ya. Nanti esok Zue
akan tunjukkan kerja-kerja yang Nurin perlu buat. Kalau perlukan apa-apa, call Zue”
Senyuman terukir di bibir Zulaikha.
Umaira sedikit teragak untuk membalasnya. ‘Dia orang tahu ke cerita tentang
aku? Aduh, malunya…’
Umaira cuma nak berehat sahaja sekarang
ni. Nak berbaring dan lelapkan mata.
Tak ada gunanya nak malu sekarang
ni. Perkara sudahpun berlaku. Umaira mengetap mangga di pagar. Sebuah kereta company sudah ada di parkir. Umaira
melangkah masuk ke dalam rumah yang sudah siap berperabut itu. Simple sahaja hiasan dalamannya, namun
sudah mencukupi buat Umaira yang tinggal sendirian.
Dia menuju ke dapur, menyusun
sedikit barang dapur yang dibekalkan Zulaikha dan suaminya. Ada Maggie. Malam
nanti Umaira makan Maggie sahajalah, esok nantilah dia makan yang sedap-sedap
di Kuala Terengganu ini.
Nasi dagang. Ya dia teringin hendak
bersarapan nasi dagang. Orang kata nasi lemak dan nasi minyak Terengganu pun
sedap. Ah banyak menu yang ingin Umaira cuba.
Dia kemudian menarik beg berodanya
ke dalam kamar utama. Malas hendak berkemas, badannya terus dibaling ke atas
katil. Tudung instant ditarik dan mukanya terus disembamkan ke bantal. Esak
tangisnya memenuhi kamar itu.
“Maafkan Umaira, ayah.. ibu..
abang.. Umaira bodoh.”
Ayah adalah setenang-tenang orang,
bila Angah teruk memarahinya. Semua yang keluar dari mulut Angah sangat
menyakitkan hati.
“Kakak ni macam tak ada pendidikan
agama. Yang pergi ikut jantan tu buat apa?”
“Kakak tak buat apa-apapun, abang
Ngah. Kakak jalan-jalan saja dengan dia.”
“Jalan-jalan konon. Entah-entah dah
buat lebih dari tu.”
“Angah!” Abang Long Haris datang
mendekati. “Jadi sekarang kakak nak buat macam-mana, nak berhenti kerja dan
ikut ayah dengan ibu balik kampung ke, atau nak teruskan dengan rancangan
majikan kakak?”
“Berhenti sajalah. Setakat kakak,
duit pencen ayahpun cukup nak beri makan.” Ayah mula bersuara. Memang ayah suka
kalau Umaira balik tinggal di kampung.
“Bagi kakak pergi sana dulu boleh?”
“Tengok. Dia masih nak jumpa budak
lelaki tu lagi.” Angah ni, mulut memang suka cakap lepas sajalah.
“Dia tak tahu kakak kena pergi sana.
Dia ingat kakak kena transfer Sibu.”
“Alah, orang macam dia tu sekejap
saja dia akan tahu kakak dekat mana. Dia bukan tak ada duit nak upah orang cari
kakak. Degil, orang suruh balik kampung lagi nak kerja makin jauh. Dah jauh
macam tu, siapa yang nak jaga kakak nanti?” Memang apa yang Angah Farid cakap
itu ada betulnya. Lagi jauh dia dari keluarga, sebenarnya lagi membahayakan
dirinya.
“Kalau tiba-tiba dia dah ada kat
sana, ajak kakak kahwin lari, kakak nak ke? Sedangkan dah keluar surat
khabarkan, kata CEO Mega Holdings tu akan kahwin dengan model tu. Kakak nak ke,
lepas dia kahwin lari dengan kakak, dia kahwin pula dengan perempuan lain. Suka
macam tu?”
Semakin kuat esak tangisnya setiap
kali teringatkan kata-kata Angah. Ia benar, dia akui, dia juga risau
kalau-kalau sungguh Khairil Izhan mengajaknya kahwin lari, sedangkan dia bukan
tidak pernah dengar lelaki itu mengajaknya ke Thailand untuk kahwin di sana.
Tapi Nurin Umaira belum lagi gila
hendak mengikut kata lelaki itu, walau dia tahu dia sangat cintakan Khairil
Izhan. Dia punya keluarga, dan dia mahu perkahwinannya nanti biarlah mengikut
adat dan agama. Bukan kahwin tangkap muat.
Dia berjanji dengan dirinya, akan dia
jaga nama baik keluarga. Akan dia jaga tingkah lakunya. Cukuplah dia sudah
mencemarkan nama baik keluarganya. Perihal Khairil Izhan, perlahan-lahan nanti
dia pasti mampu untuk melupakan lelaki itu.
Jue, tolong jagakan Encik Khai untuk
aku… rintihnya.
Entah bila dia terlelap dan bila
terjaga Maghrib sudah menjelma. Dia melangkah lemah membuka suis lampu.
Meninjau ke dapur melihat apa yang hendak di masak buat makan malam nanti.
Bermalam di tempat baru, Nurin
Umaira duduk lama di sejadah, membaca kitab suci Al-Quran yang memang sudah ada
di dalam bilik. Sesungguhnya, ayat-ayat Allah yang tersusun indah di dalam
Al-Quran sangat menenangkan hati saat membacanya.
Dengan menyerahkan diri pada Allah,
dia memiliki keyakinan untuk menghadapi hari esok.
No comments:
Post a Comment