KHAIRIL
Izhan rasa seronok tinggal di kampung Umaira. Lebih-lebih lagi bila ayah Umaira
mengajaknya ke kebun buah miliknya. Walaupun tidaklah sebesar mana kebunnya
tapi pokok-pokok yang ditanam sentiasa memberikan hasil untuk keluarga.
Teringat sewaktu dia mengembara ke Australia, pernah dia bekerja sebagai
pemetik epal di sana.
Tidak ada masalah untuk Khairil
menyesuaikan diri di kampung Umaira. Kerana sejak belasan tahun dia suka
mengembara melihat negara orang. Dia juga pernah bekerja sebagai gembala
kambing, pemerah susu, semua itu pengalaman yang amat berharga buat dirinya. Dia
belajar erti kesusahan setiap kali dia mengembara menimba ilmu.
Khairil juga suka bila Haji Noordin
sentiasa membawanya ke sana ke mari. Hinggakan suatu pagi Bob merungut, bila
Haji Noordin tidak mengendahkan dia.
“Ayah ni, sejak ada abang Khai, dah
lupa nak ajak Bob keluar minum. Selalu kalau nak pergi mana-mana, Bob lah yang
diajak.” Bob tarik muka. Lucu pula Khairil melihatnya.
“Ialah, Bob dah hari-hari dengan
ayahkan, abang ni baru ni nak manja dengan ayah.”
Manja dengan ayah? Sedap bunyinya.
Selama ni, Khairil hanya bermanja dengan uncle George, suami aunty Mariam.
Dengan ayahnya dia jarang bersama. Sewaktu kecil, setiap kali dia ketakutan,
atau menangis bila pulang dari sekolah kerana dibuli kawan-kawan, dia akan
memeluk uncle George, mengadu padanya, bercerita tentang kepayahannya di
sekolah. Pada Khairil, uncle George lah superhero nya.
Sepanjang dia tinggal dengan
keluarga Umaira, tidak sekalipun Haji Noordin mahupun Hajah Hasmah bertanya
tentang keluarganya. Dan Khairil juga tidak pernah membuka mulut hendak bercerita.
Dia awalnya hendak juga memberitahu, neneknya pernah tinggal di Johor Bahru.
Dia ada juga teringin hendak membuka cerita tentang salasilah keluarganya, yang
mungkin akan membuatkan dia lebih disayangi oleh keluarga Umaira. Namun niatnya
itu dia pendam sahaja, dia mahu jadikan ianya surprise buat Umaira dan keluarganya.
Punggungnya dilabuh ke atas birai
katil. Bingkai gambar Umaira yang sedang tersenyum cantik bersama ibunya,
diambil. Ditatap lama buat menghilang rasa rindu yang menebal. Sedang apakah
Umaira sekarang, moga Allah sentiasa melindungi kekasih hatinya itu.
“Sabar..” Tangan seseorang menepuk
perlahan bahunya dan mengusap mesra.
“Uncle?”
“Rindu ya?”
Malunya. Adoi, jadi lelaki jiwa kena
kuat Khairil Izhan.
Mana tidaknya, rasa sudah hampir 15
minit dia menatap gambar Umaira yang terletak elok di dalam frame di atas meja
sisi katil. Gambar yang menjadi penemannya setiap malam. Sungguh dia tidak
perasan yang ayah Umaira memerhatikan gelagatnya.
“Imam Harun kata, kalau uncle tak nak bermenantukan Khai, dia terlebih
sudi nak ambil Khai jadi menantu dia.”
Begitu ya. Nampaknya dia telah
memenangi hati Imam Harun. Sejak dia di kampung itu, ada juga anak-anak gadis
yang tersengeh-sengeh padanya. Setiap kali dia menemankan ayah Umaira mengeteh di warung Pak Jonet, ada sahaja
yang datang menyapa. Memang mereka keluar bersama adik-adik Umaira yang tidak
kurang juga dari segi rupa, tapi dia tahu ada mata yang sentiasa memerhatikan
dia.
Hailah, siapa yang tak nak mengurat
jejaka kacak dan kaya seperti dia. Aduh, jangan perasan sangatlah Khairil Izhan
oi.
“Imam Harun kata lagi, sejak Khai
bersolat di masjid, ramai pulak Jemaah terutama perempuan, Alhamdulillah penuh
masjid. Ramai yang nak dengar tazkirah.”
“Ishk, tak akanlah uncle.
Harap-harap kalau Khai dah balik KL nanti, masjid masih penuh, bukan kerana
Khai tapi sebabkan kesedaran dalam diri masing-masing.”
Dari dalam bilik mereka melangkah ke
ruang tamu. Ibu Umaira dan adik-adik Umaira sedang leka menonton tv. Namun
sebaik ayah Umaira mengambil duduk, suara tv diperlahankan.
“Semalam Umaira telefon.”
“Umaira telefon?” Tidak sabar rasa
hati hendak tahu.
“Uncle tahu dia sedang sakit
sekarang ni.”
“Umaira sakit?” Umaira sakit? Umaira
sakit? Pertanyaan itu berulang difikiran.
“Dia juga sedang sakit rindu. Esak
tangisnya sudah menceritakan apa yang terbuku di dalam hatinya. Umaira tak
kuat, katanya. Khai, kami sekeluarga, termasuk Along, Angah dan Uda semua dah
setuju dan kami merestui hubungan Khai dengan Umaira. Kami tahu, Khai seorang
yang baik dan kami yakin, Khai ikhlas dengan Umaira. Khai mampu bimbing Umaira,
mampu menjadi Imam pada Umaira, satu-satunya permata dalam keluarga kami. Uncle
letak semuanya pada Khai. Kalau Khai serius, hantarlah rombongan meminang dan
Uncle sendiri akan walikan Umaira buat Khai.”
Sebak hatinya mendengar kata-kata
ayah Umaira. Anggukkan yang ibu Umaira berikan menambahkan lagi rasa sebak di
dalam hatinya, dan tanpa silu dia terus bangun dan duduk melutut di depan ayah
Umaira. “Terima kasih uncle, Khai
janji akan jaga Umaira bagai menjaga nyawa Khai sendiri.”
“Esok, uncle izinkan Khai berjumpa
dengan Umaira di Kuala Terengganu. Khai tentu tahu dia dekat manakan? Pergilah
pujuk hati dia, dan kembalikan anak gadis uncle yang ceria dan petah bercakap
tu.”
Ya, esok genap seminggu Khairil di
rumah keluarga Umaira. Genap seminggu juga dia hilang. Tidak sekalipun dia on
handphone miliknya, keduanya. Dia tidak mahu jika ahli keluarganya dapat
mengesan dia di mana. Dengan teknologi sekarang, senang sahaja mereka hendak
tahu lokasinya.
Esok, ah pastinya dia sudah tidak
sabar hendak menunggu matahari terbit. Dia tidak sabar hendak berjumpa dengan
pujaan hatinya itu.
“Nanti mak cik nak bekalkan dia
sambal jawa. Khai tolong bawakan ya.”
“Nak bawa uncle dengan aunty sekalipun
Khai sanggup, inikan sambal jawa.” Khairil sudah tidak sabar.
“Malam ni ada kenduri kat masjid.
Kita makan kat masjid sajalah ya. Imam Harun sebok nak suruh Khai azan kat
masjid. Nanti dah balik KL entah bila Khai nak datang lagi.”
Sungguhlah sudah seminggu dia
tinggal di kampung Umaira. Sedar tak sedar dia sudah hampir mengenali ahli
keluarga dan juga jiran sekampung Umaira. Bob sudah pastilah tourist guide nya yang terbaik. Setiap
kali mereka keluar bersama, dan di mana sahaja ada kenangan dengan Umaira pasti
dia akan bercerita.
Dan di antara kenangan itu, ada satu
yang kenangan yang sangat Khairil Izhan bersungguh hendak mendengarnya. Cerita
tentang arwah atok Umaira yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah
rumah orang kaya.
“Dulu Kak Umaira memang nak sangat
tinggal dengan atok, sangguplah bergaduh dengan kami.” Hafiz bercerita. Dia
yang dilahirkan kembar dengan Luqman, memiliki paras rupa yang sangat seiras. Buat
masa ini pada pandangan Khairil, hanya tahi lalat di hujung kening kiri Hafiz
yang membezakan wajahnya dengan Luqman. Mungkin bila sudah lama bersama, dia
akan dapat melihat perbezaan antara keduanya.
“Asal cuti sekolah dia sebok nak tinggal
dengan atok.” Luqman menambah.
“Alasannya nak teman atok dengan
nenek, tapi sebenarnya suka nak mengintai cucu orang kaya tu. Siapa entah
namanya.”
“Budak muka ketat! Yes!” Luqman
berteriak riang. Akhirnya mereka dapat merungkai persoalan teman lelaki misteri
Nurin Umaira yang sering dijadikan alasan menolak pinangan.
Mereka semua tertawa, tanpa sedar
siapakah gerangan sebenarnya budak muka ketat itu. Dan Khairil Izhan tentu saja
tidak mahu bertanya lanjut, risau rahsia akan terbongkar.
Suboh esok, Haji Noordin bercadang
untuk bersolat Jemaah sahaja di rumah bersama keluarganya. Jadi dia sudah
berpesan pada Khairil untuk siap-siap bersalaman dan memohon maaf pada Imam
Harun, juga Jemaah masjid yang sudah mengenalinya andai ada kekurangan dan
tersilap kata.
Khairil rasa bersyukur dipertemukan
dengan keluarga Umaira yang sangat bersederhana dan sentiasa menjaga adab.
Sungguh benarlah, perbuatannya yang lalu sangat tidak disukai ayah Umaira, dan
sudah menjatuhkan maruah dan nama baik bekas guru itu.
Malam menjadi sangat panjang buat
Khairil menunggu siang. Hatinya sudah tidak sabar hendak terus memandu ke Kuala
Terengganu, walaupun dia tahu, yang dia tidak pernah memandu ke Kuala
Terengganu sebaik pulang ke Malaysia. Apa susahnya, Waze ada, GPS pun ada. Jika
diizikankan Allah, dia pasti akan dapat bertemu Umaira.
Tunggu abang ya, sayang.
Bisik hatinya gatal. Dan dia ketawa
sendiri.
No comments:
Post a Comment