NURIN
Umaira hanya membontoti Hana dan Ishaq. Baik sungguh hati keduanya hendak
membawa dia berjalan-jalan di Pantai Batu Burok. Umaira pun tidak tahu kenapa
dia mahu mengikut pasangan kekasih itu. Mungkin dia rasa seronok melihat
kemesraan mereka.
Umaira banyak tersengeh dari
menjawab atau menyampuk perbualan Hana dan Ishaq. Loghat Terengganu mereka
pekat dan ada antara tutur mereka yang langsung tidak difahaminya.
Melihat Hana dan Ishaq, hatinya
cepat teringatkan Khairil Izhan. Sedang buat apakah dia, dan di manakan dia
sekarang ini? Pertanyaan itu kerap bermain di fikiran. Kerap berlegar-legar di
dalam kepala. Ah, selagi dia tidak bertemu dan mengetahui perihal Izhan dia
menjadi tidak senang.
Walau siang hari dia cuba menyiapkan
segala kerja yang diamanahkan, namun ada ketika dia akan mula murung dan asyik
teringatkan kekasih hati. Kenapa dia langsung tidak menghubungi Umaira. Dan
Umaira juga rasa takut hendak menghantar pesanan. Mungkin sekarang Izhan sedang
marah kepadanya, kerana melarikan diri.
Atau mungkin benar dia ke Sibu untuk
mencari Umaira. Namun berita yang didengar dari Helmi, Encik Khai tidak pernah
ke Sibu, malah sudah disiasat, tidak ada tiket penerbangan yang dibeli atas
nama Khairil Izhan. Jadi di mana dia sekarang?
Berikanlah dia waktu untuk
menenangkan hati. Sampai waktunya nanti, jika ada jodoh mereka, pasti akan
bertemu.
“Cik Nurin, jom makan sotong
goreng.” Sepatah-sepatah tutur Ishaq, agar mudah difahami Umaira. Ya di Kuala
Terengganu ini dia mahu dikenali sebagai Nurin, bukan Umaira seperti
kawan-kawan di company lamanya.
Biarlah mereka memanggilnya Nurin, agar dia dapat melupakan kenangan sebagai
Umaira.
Inilah istimewanya Kuala Terengganu.
Makanan laut yang digoreng tepung memenuhi kaunter. Pilih sahajalah.
Besar-besar udang dan sotong. Menambat selera Umaira. Dia sudah menikmati nasi
dagang yang diidam, dia juga sudah merasa nasi minyak dan nasi lemak Terengganu
sahaja yang dia belum cuba. Kelmarin, bukan main banyak lagi makanan tempatan
yang dibeli kawan-kawan barunya, hanya untuk menjamu Umaira.
“Cik Nurin..”
“Saya..”
“Cik Nurin selalu termenung,
teringatkan siapa?”
“Rindu kampung ya?”
Tidak ada seorangpun yang bertanya
pada Umaira tentang kisahnya yang hangat diperkatakan. Mungkin berita itu tidak
sampai kepada mereka di sini. Ialah, mereka dari syarikat yang lain, bukan Mega
Holdings. Lagipun baru sahaja Tan Sri Sufrie mengambil alih resort ini, mungkin
juga mereka belum mengenali Tan Sri Sufrie, sebab itulah tidak terdengar khabar
angin tentang skandal Mr. CEO.
“Haah, tentu rindu boyfriend ni?”
Nurin Umaira tertawa riang. Sudah
beberapa hari dia tidak tergelak dek kerana jiwa kacau yang mengganggu.
Dia senang bekerja di sini. Walau
kakinya sakit, sebab kena banyak meronda di kawasan resort, namun dia senang
hati. Tan Sri Sufrie juga sudah memberikannya lampu hijau jika ada landskap
yang hendak di tukar, Umaira boleh melakar pelan baru. Mana-mana yang perlu
ditukar, list kan sahaja, sampai masa mereka akan bermesyuarat. Jadi untuk
beberapa hari ini, Umaira hanya berpusing sekeliling resort mencari apa yang
boleh diubah ataupun ditokok tambah.
“Okay dok tinggal sini?”
“Okay sangat. Pemandangan
cantik-cantik. Orang-orangnya pun baik-baik semuanya.”
“Itulah Cik Nurin suka duduk dalam
rumah, selalulah ikut jalan.”
“Seganlah nak ikut you alls. Saya
tak faham kadang apa you alls cakap.” Dia tersengeh. Malu hendak
berterus-terang. Tapi dia tidak mahu dianggap sombong.
“Oh, patutlah kalau ditegur senyum
saja.” Mereka sama-sama tertawa.
Sudah empat hari Nurin Umaira di
Kuala Terengganu. Dia sudah mampu memujuk hatinya yang rawan. Cuma rindu masih
mengetuk hati. Biarkanlah, jika dia sebok dengan urusan kerja, dia akan lupa
tentang perasaan.
Namun bila dia memandang langit yang
dipenuhi bintang di Pantai Batu Burok itu, hatinya kembali merintih. Haruskah
dia cuba menelefon Izhan dan memberitahu lelaki itu yang dia setuju dengan
rancangan lelaki itu untuk kahwin lari ke Thailand. Kerana saat ini dia tidak
sanggup lagi hendak menahan rindu.
***
Seperti
malam-malam sebelumnya, Khairil Izhan akan leka bermain karom dengan adik-adik
Umaira. Jika selama ini dia langsung tidak cekap bermain, namun sekarang dia
sudah bijak menghantar buah ke jaring.
Haji Noordin mengambil angin di luar
rumah. Dia memandang langit yang diterangi cahaya bintang. Hatinya jadi rindu
pada si anak gadis. Satu-satunya anak perempuan kesayangan keluarga. Tadi dia
ada melihat Instagram Umaira, gambar langit yang Umaira share di Instagram seolah menceritakan tentang hati anaknya itu.
“Termenung apanya, bang?”
Segelas kopi panas dihulur
kepadanya.
“Teringatkan anak kesayangan..”
“Umaira kan dah besar, dia dah boleh
jaga diri sendiri.”
“Itu abang tahu, tapi abang tetap
risau. Dia perempuan..”
“Abang doa yang baik-baik sajalah.”
Hajah Hasmah melabuhkan punggungnya di atas pangkin di sebelah suaminya. Ada
yang ingin ditanyakan. Siang tadi sewaktu dia ke pasar, dia terdengar bualan
kawan-kawannya.
Bukan dia tidak pernah mendengar
umpat tentang anak gadisnya itu, namun yang kali ini dia rasa sedikit terkesan.
Awalnya Hajah Hasmah memang tidak
setuju dengan tindakan suaminya, yang ingin menguji Khairil Izhan. Namun dia
tidak membantah kerana dia juga inginkan suami yang terbaik buat satu-satunya
anak perempuannya itu.
“Kenapa ni?” Pehanya di tepuk Haji
Noordin.
“Orang kampung dah mula bercakap
fasal Khai..” Suaranya perlahan namun masih boleh didengar Haji Noordin.
“Dia orang cemburu tu, sebab ada
juga yang teringin nak Khai jadi menantu dia orang.”
“Tapi dia orang cakap kita ni belum
apa-apa lagi dah nak pilih menantu kaya. Kalau tiba-tiba tak jadi hubungan kakak
dengan Khai tu macam-mana? Runsing saya ni, bang.”
Haji Noordin hanya mendiamkan diri.
Dia faham dan dia juga sudah banyak berfikir.
Sepanjang beberapa hari Khairil
Izhan tinggal bersama mereka, dia tidak nampak cacat cela lelaki itu di
matanya. Dikejut jam 3 pagi untuk Qiamullail dan Solat Tahajud pun dia tidak
nampak mengantuk dan tenang sahaja. Bacaan Al-Quran nya juga lancar. Tidak
kekok walaupun disuruh membantunya di kebun. Berpanas dan berpeluh badan dek
kerana membersihkan kebun milik Haji Noordin. Boleh saja memegang cangkul,
sabit mahupun penyapu. Hairan juga, betah sahaja anak London itu membuat kerja.
Jadi di fikirannya, untuk apa lagi
dia hendak menguji, nampaknya Khairil Izhan telah lulus cemerlang.
Beberapa orang rakannya ada berbisik,
sangat sesuai dibuat menantu. Beruntung sungguh, dan tepat sangat pilihan
Umaira. Hikmah disebalik lamaran yang ditolak, adalah jodoh yang lebih
sempurna.
“Abang setuju dia jadi menantu kita.
Nanti abang akan bercakap dengan Along, Angah dan Uda. Adik-adik Umaira semua
setuju, lagi-lagi Bob. Mana tidaknya, Khai tu sekepala dengan dia. Panjat pokok
pun jadi dia berdua tu.”
Kedua pasangan suami isteri itu
menghela nafas panjang. Hanya ada seorang sahaja anak perempuan, namun cabaran
yang dihadapi sangat besar bagaikan ada sedozen bilangannya.
“Abang dah impikan sebuah majlis
perkahwinan yang meriah. Dia satu-satunya anak perempuan abang, abang nak yang
terbaik untuk dia.”
“Sayapun.”
“Jadi setuju lah dengan Khai tu?”
.
Hajah Hasmah tersenyum dan mengangguk.
“Dia baik, dan tak nampak
berpura-pura. Sejak dia ada tinggal dengan kita, ramai pula yang ramah nak
bertegur sapa dengan saya, cuma itulah, yang mulut tak ada insurans tu, suka
duk mengumpat, mengata yang bukan-bukan.”
Peha Hajah Hasmah, Haji Noordin
tepuk perlahan. Jika isterinya sudah setuju, dan dia sendiri merasakan
keserasian dengan Khai, apa lagi yang hendak di uji tentang lelaki itu. Cuma
sekadar memenuhi syarat seminggu seperti yang telah dipersetujui sebelum ini,
dan selepas itu dia sendiri yang akan memberitahu Khairil Izhan di manakah anak
perempuannya kini bersembunyi.
No comments:
Post a Comment