Dunia Kecilku

ilashukri.blogspot.com

Monday 30 April 2018

[ Bab 33 ] Dia Bukan Skandal


KERETA dipandu memasuki sebuah rumah berhalaman luas di kampung Nurin Umaira di Kulai. Rumah kampung, tapi sudah diubahsuai. Luas halamannya, besar juga rumahnya. Seorang pemuda menunggu di pintu. Adik Nurin Umaira, mungkin. Dan bila ayah Nurin Umaira yang keluar dari sebelah pemandu, pemuda itu berlari mendekat.
            
“Ayah beli kereta baru?”
            
“Eh, bukanlah. Ni kereta bos kakak.”
            
Bos kakak? Alahai uncle, cakaplah boyfriend kakak ke. Tak seronok saja bunyinya.
            
“Dah kenapa bawa balik kereta bos kakak? Bukan kakak dah tukar kerja ke? Dia tu siapa?” Mata mereka bertentangan seketika, Khairil Izhan tersenyum manis.
            
“Itulah bos kakak. Dia datang bercuti kat sini.”
            
“Ayah ni pelik-pelik sajalah. Kakak bukan ada kat sini, siapa nak layan dia nanti? Bibir dia kenapa tu, lebam ke?”
            
“Kamu ni Bob, dahlah tak ajak orang masuk, asyik nak tanya itu ini. Dah Khai, mari masuk dulu, jangan dilayan Bob ni.” Sesekali sahaja mendengar suara ibu Nurin Umaira. Namun dia tetap dilayan mesra, walau pandangannya sesekali kelihatan mencurigakan.
            
“Ialah kenapa bawa balik bos kakak? Kakak bukannya ada.” Katanya terhenti dan matanya tepat memandang Khairil Izhan seolah mengingati sesuatu.
            
“Ohhh… Bos kakak, skandal kakak? Ini ke CEO tu? Ah, hensemlah bu. Sesuai dengan kakak. Abang boleh main bola sepak? Takraw? Karom?” Dari wajah penuh tanda tanya kini sudah bertukar ke wajah penuh keterujaan.
            
“Futsal dengan karom tu boleh, tapi takraw tak berapa pandailah.”
            
“Orang London mana main takraw, Bob.” Suara ayah Nurin Umaira yang kemudian menghilang di sebalik dinding. Ialah, tinggal di kampung tentu anak muda belasan tahun seperti Bob akan banyak menghabiskan masa berseronok dengan kawan-kawan di padang. Jika dahulu sewaktu di London, dia hanya suka bermain bola tampar atau bola keranjang. Ada juga dia bermain ragbi, tapi dia lebih gemar mengembara menuntut ilmu dari sebok bersukan.
            
“Nanti petang Bob bawa abang pergi tengok orang main takraw. Beg abang mana?” Khairil Izhan hampir tepuk dahi. Dia terlupa beg bajunya di bonet belakang.
            
“Ada. Sekejap abang ambil.”
            
“Bibir abang tu kenapa?” Masih sempat lagi Bob nak bertanya.
            
“Hadiah perkenalan dari Angah tu. Ayah nak dia tidur sini seminggu. Nak tengok skandal kakak kamu ni, boleh ke dia jaga kakak. Boleh ke orang kaya duduk rumah macam kita, pandai tak dia mandi air perigi. Pandai tak dia bergaul dengan orang kampung, orang masjid. Nak anak pak cik, Khai kena biasakan diri dengan semua tu.”
            
Pergh. Khairil Izhan rasa nak pitam mendengarnya. Jika sedari tadi ayah Nurin Umaira hanya berbual kosong dengannya, kini kata-kata tegas yang keluar dari mulutnya memang buat Khairil Izhan rasa macam nak tercekik sekarang ni.
            
“Sebenarnya Bob tak faham, apa maksud skandal tu?”
            
“Ishk, jangan sebutlah perkataan skandal tu Bob. Buat malu jer, kasihan kat kakak.”
            
“Aah, tahu kamu malu, kasihan kat Umaira ya, Khai. Masa kamu bawa dia sana sini kamu tak kasihan, kamu tak fikir macam-mana esok lusa kalau orang dapat tahu. Macam-mana reaksi keluarga dia, macam-mana tanggapan orang sekeliling, macam-mana nasib yang bakal terjadi esok hari.” Jelingan mata ibu Nurin Umaira rasanya bagaikan panah terus tembus pada jantung Khairil Izhan. Argghh… Sakitnya tak boleh nak kata. Itulah khilaf Khairil Izhan yang buat sesuatu tidak berfikir panjang.
            
“Maafkan Khai, mak cik, pak cik, Bob.. Kalaulah Khai boleh tebus semuanya.. Hari ni pun Khai sanggup buat apa sahaja, asal jangan suruh Khai lupakan atau jauhi Nurin Umaira sudahlah.” Wajahnya sudah tertunduk.
            
Dia kemudiannya bersandar di sofa, menahan satu rasa di dalam hatinya. Dan dia juga tertanya kenapa dia buat semua itu. Kenapa dia tidak berfikir baik buruk. Dia bukan tidak ada didikan agama, dia juga mendalami ilmu di Mesir, tapi kenapa dia cepat terpedaya dengan ajakan syaitan. Yang menjadi mangsanya Nurin Umaira, kasihan gadis manis itu. Rindunya dia pada seraut wajah cantik itu, tentu dia sedang bersedih sekarang ini.
            
“Pergi rehat dulu kat bilik Umaira. Maghrib nanti kita solat kat Masjid.”
            
“Jom abang, kita naik motor ronda-ronda kampung.” Tangannya terus di tarik Bob. Mungkin sebab anak bongsu, Bob agak manja sedikit. Bila ditanya usianya, katanya sudah 17 tahun, tapi dari gaya macam baru 12 tahun sahaja.
            
Dari Bob dia mengenali semua adik-beradik Nurin Umaira. Jika tadi dia takut hendak bertanya dengan si ayah, kini banyak soalan dia ajukan kepada Bob.
            
Haris, Farid, Fattah adalah abang kepada Umaira, mereka semua sudah berkahwin dan tinggal di KL dan Kuantan. Hafiz, Luqman dan Bob adik lelaki Umaira. Hafiz dan Luqman menuntut di Universiti Utara Malaysia, cuma Bob sahaja yang belum menyambung pelajaran.
            
Tapi khabarnya, Hafiz dan Luqman akan pulang bercuti esok. Dapatlah dia mengenali dua beradik itu nanti.
            
“Kak Umaira pernah panjat pokok tu tau, abang. Dia lebih ganas dari kami semua. Dulu ada seorang lelaki ni suka kat dia, tapi bila datang beraya, tengok abang-abang kak Umaira, terus dia tak jadi nak mengurat. Dia kata abang Farid garang. Mana ada garang, misai dia saja yang nampak garang.”
            
“Kak Umaira cantik. Orang kampung suka kak Umaira. Ramai dah pinang kak Umaira, tapi dia tak nak, dia kata dia dah ada boyfriend. Tapi bila tanya mana orangnya, tak adalah pula dia nak bawa balik kenal kat family.”
            
“Abang tahu, sebab dia dah berjodoh dengan abang. Abanglah boyfriend dia tu.”
            
“Hah, cliche lah abang ni.”

Mereka tertawa. Ialah Bob, betullah tu, memang Nurin Umaira sudah berjodoh dengan Khairil Izhan. Kami sudah berjodoh dari kecil.

“Abang memang betul-betul sayang kak Umaira ke?”

“Betullah. Kenapa?”

“Ialah, abang kaya, abang duduk London. Kakak tu, orang kampung. Tak baik kalau abang main-mainkan kakak. Ayah memang sayangkan kakak sangat, dia sentiasa tanya khabar kakak. Kak Umaira sakitpun dia tahu. Tak tahu dari mana abang Farid dapat gambar kakak, teruk kakak kena marah. Sampai ayah suruh berhenti kerja. Bila kakak kena pergi Kuala Terengganu ayah sanggup turun KL sebab nak tengok kakak. Abang jangan main-mainkan kakak tau, dia satu-satunya permata dalam keluarga kami. Kami semua sayang kakak.”

Wajah Bob Khairil Izhan pandang lama. Nafasnya dihela perlahan. Abang janji abang akan jaga kakak seperti menjaga diri abang sendiri. Abang sayangkan kakak, abang cintakan kakak. Bob percayalah. Abang tak akan sia-siakan kakak. Abang akan jadi pelindung kakak, superhero kakak, lelaki terakhir kakak, Imam kakak, pemandu kakak ke syurgawi.

“Kakak tak pernah ikut lelaki, tak tahu macam-mana dia boleh ikut abang.” Bob masih dengan cerita tentang Nurin Umaira. “Mungkin betullah agaknya memang abang dan kakak ni berjodoh. Cuma permulaan cerita jodoh abang dan kakak ni tak berapa elok. Ayah pesan tadi, jangan ada sesiapapun beritahu kakak, abang ada kat sini. Takut kakak marah. Jadi abangpun jangan memandai nak beritahu kakak pulak.”

“Kakak kat Kuala Terengganu ya, Bob?”

“Aah, tak akanlah abang tak tahu?”

“Semua orang tak beritahu abang.”

“Kat resort apa entah namanya, ibu kata, kakak kena ganti orang cuti bersalin kat sana.”

“Ohh…” Khairil sudah tahu tempatnya. Senyuman terukir lebar di bibir. Alahai. Kat situ rupanya kesayangan hatinya itu. Sabarlah duhai hati, seminggu bukannya lama sangat. Ke Kuala Terengganu pulalah kita nanti.


, ,

Sunday 29 April 2018

[ Bab 32 ] Dia Bukan Skandal


DIA dijamu dengan menu masakan kampung yang dia tidak pernah jumpa di London. Mulanya dia agak kekok hendak menjamahnya, namun bila sudah memasuki tekak, selera melayunya datang menerpa. Walau terpaksa makan dengan perlahan, namun dia mengisi kekosongon perut secukupnya. Dia bukannya anak kelahiran London, dia anak Malaysia, anak Johor tentulah ada salur galur Jawa di dalam tubuhnya walaupun neneknya orang Sabah.
            
Selesai makan, mereka duduk santai di ruang tamu. Dapatlah Khairil melegakan kepalanya. Bila perut sudah diisi, otak pula elok sahaja bekerja. Mulalah rasa mengantuk, tambah pula lagi sakit di bibir masih terasa. Sementelah mereka makan agak awal sebabkan Khairil yang sudah kelaparan.
            
Elok dia baru hendak melelapkan mata, bahunya dicuit.
            
“Solat Zuhor dulu.” Matanya terkebil-kebil memandang Haris, abang long Umaira. Sebaik matanya terpandang Farid, Khairil bingkas bangun. Ah, apasal pula nak takut dengan abang ngah Umaira tu.
            
“Jadi imam ya, Khai.” Dia mengangguk. Bukan nak berlagak, tapi inilah masanya untuk dia tunjukkan yang dia boleh. Bukan juga hebat, tapi Inshaa Allah, dia lancar mengaji.
            
Well, maybe ujian pertama dia dah lepas. Dia boleh jadi imam kepada Umaira, bacaan dalam solatnya di puji Haris. Namun ada ujian yang lebih berat menanti Khairil, dan yang ini memang buat dia migraine terus.

“Ah, seminggu?” Bulat matanya memandang ayah Nurin Umaira. Biar benar? Dia hendak Khairil tinggal di Kulai seminggu? Khairil sehelai sepinggang kot. Kalau adapun cuma kasut sport dan sepersalinan pakaian sukan di dalam kereta. Yang itu memang selalu ada di dalam kereta Khairil.
            
“Ya seminggu. Kalau serius nak kan Umaira, ikut pak cik balik Kulai, seminggu.”
            
“Tapi Khai kerja..” Dia mula serba-salah, ujian berbentuk apakah pula ini? Macam-mana dengan kerjanya? Tak akanlah nak ambil cuti seminggu?
            
“Kalau macam itu, pak cik rasa Khai kenalah lupakan Umaira. Memang Khai lelaki pertama yang Umaira ceritakan pada kami, tapi Umaira bukan tak laku, dah 6 pinangan kami tolak sebab dia kata dia tak nak kahwin lagi. Itu belum lagi lelaki yang berani mati datang sendiri ke rumah hanya untuk berkenalan dengan dia..”
            
Enam pinangan? Khairil bercinta dengan Ratu Cantik ke? Aduhai Nurin Umaira.
            
“Kamu serius ke sukakan Umaira?”
            
“Serius.” Jawabnya laju. Mukanya dah herot berot dah. Lebam di bibir dan pipi masih kelihatan walaupun sudah disapu ubat dan ditekap ais. Mungkin sebab rawatan agak lambat diambil itu yang meninggalkan bekas lebam di wajahnya.
            
“So kalau serius, ikut sajalah.” Senangnya abang Ngah Farid bercakap. Meletakkan keputusan tanpa fikir sebarang kemungkinan. Mahu tak mahu Khairil terpaksa setuju. Dia memang sangat inginkan Umaira menjadi suri hatinya. Menjadi ibu kepada zuriatnya. Menjadi makmum dalam solatnya.
            
“Tapi baju semua tak bawak.”
            
“Kat rumah tu semua lelaki, soal baju kain pelikat tak payah risau.”
            
“Yang kecik-kecikpun tak ada ni, uncle. Tak akan itupun nak share?”
            
“Tak payah pakai. Masuk angin sikit.” Eh? Ada tawa halus yang kedengaran. Biarkan benar ini? Wajah Khairil berkerut seribu. Pelik dia dengan tutur Along, seorang guru agama. Ah, mungkin dia hanya bergurau.
            
“Kita belilah nanti.”
            
“Singgah rumah Khai dulu ambil baju, boleh?” Dia cuba memujuk.
            
“OK. Dengan syarat hari ni tidur sini. Esok pagi-pagi pergi rumah Khai lepas tu balik Kulai.”
            
Mengingatkan tentang 6 pinangan yang ditolak, Khairil Izhan jadi berpeluh walau penghawa dingin sudah ke takat beku.
            
“Kalau Khai masuk meminang, uncle terima?”
            
“Kami pernah nak terima pinangan yang ke enam dulu. Seorang ustaz sahabat Haris. Lulusan Al-Azhar Mesir. Tapi persoalannya Umaira yang tak nak. Dia kata hati dia untuk sahabat lama dia, entah siapa budak lelaki tu, pak cikpun tak tahu. Budak lelaki muka ketat, macam itulah yang pak cik ingat. Bila semua dah reda, kamu bincang dengan dia elok-elok. Kalau dia setuju terima pinangan kamu, kami sekeluarga tak ada masalah.”
           
Budak lelaki muka ketat? Khairil Izhan sudah senyum meleret. Rasanya dia kenal siapa budak lelaki yang dimaksudkan.
            
Khairil Izhan akan buat apa sahaja demi untuk mendapatkan Nurin Umaira. Dia hanya tersengeh setiap kali mengingatkan yang Nurin Umaira menyukai budak lelaki muka ketat seperti yang dikatakan ayahnya. Errmm… Adakah selama ini Nurin Umaira cuba mencari budak lelaki itu atau dia hanya menyukainya dalam diam. Atau sengaja mengadakan cerita buat menolak semua lamaran?

Persoalan itu hanya Nurin Umaira yang boleh menjawabnya.

Dan malam itu dia bermalam di rumah Haris. Yang paling seronok, sebaik habis solat Maghrib, ada tazkirah yang Haris sampaikan. Membuatkan Khairil teringatkan ketika dia mendalami ilmu agama di Mesir. Haris seorang abang yang baik, nasihat yang dia berikan pada Khairil akan Khairil pegang.

         Daripada Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As r.a., bahawa sesungguhnya Rasullullah SAW bersabda: ‘Sesungguhnya di antara dosa-dosa besar ialah seseorang itu melaknat (mencaci maki) kedua-dua orang tuanya (ibu bapanya),”

Khairil tarik nafas panjang. Dia sudah meninggikan suaranya pada mommy nya sendiri.


, ,

Friday 27 April 2018

[ Bab 31 ] Dia Bukan Skandal

DIA menyelok kocek. Notification WhatsApp dipandang. Segera dia melihat pesanan dari Helmi. Sangat pendek pesanannya.

·         Service R8 – today
Service R8? Jadi dia kena tukar kereta? Balik rumah dululah kalau macam ni. Boleh juga tukar baju. Mandi dulu ke. Habis, Angah? Ah, buat tak tahu sajalah. Dia menaip sesuatu membalas WhatsApp Helmi.

·         R8 park @ home.
Pandai-pandailah Helmi nak ambil kereta kat rumah dia nanti. Nasib ada S8 boleh dia tukar pakai kereta. Malas nak bawa S8 sebab kereta itu besar, Khai lebih suka yang sporty.

Suasana sangat janggal di dalam kereta bila masing-masing berdiam diri. Hanya celoteh deejay radio yang kedengaran. Apa yang hendak dibualkan dengan lelaki di sebelahnya itu, wajahnya sangat menakutkan.

“Eh, kita nak ke mana ni?”

“Balik rumah aku kejap. Nak tukar baju.” Jawab Khairil selamba. Kalau kau nak mengaruk dalam kereta aku ni, aku turunkan kau dekat depan tu. Jangan nak tunjuk lagak pula.

“Errmm.. Baguslah, bawa-bawalah mandi.” Aik. Khairil ingat dia nak marah, rupanya dia setuju ikut Khairil balik. Walau bibirnya sedikit sakit, dia tersenyum senget.

“Panggil aku Farid saja. Kita sebaya, selagi kau belum jadi adik ipar aku jangan pandai-pandai nak panggil aku Angah.”

My pleasure.”

Sorry aku tumbuk kau tadi. Kalau ikut hati marah aku tadi, nak aku bunuh jer kau, kang kalau tiba-tiba adik aku pregnant, siapa pula yang nak bertanggungjawab.”

Pregnant?” Khairil kerut dahi, keningnya hampir bercantum jadinya. Umaira pregnant? Anak siapa pula? Umaira ada lelaki lain?

“Ialah, dah kau bawa dia sampai ke hotel, bawa balik rumah kau lagi, boleh honeymoon kat Bukit Tinggi pulak tu, kau ada sentuh dia tak? Buat benda tak senonoh dengan dia?” Kali ini tonasi suara Angah agak keras. Wah berat tuduhan tu. Honeymoon? Tak baik kau tuduh lelaki baik macam Khairil. Baik sangat ke kau tu Khairil?

“Ishk, mana ada. Nak pegang tangan pun dia tak bagi, lagikan nak pegang tempat lain.”

Nak pegang Umaira? Memang itu yang Khairil harapkan setiap kali bersama Umaira. Dapat berpegangan tanganpun dah rasa cukup indah. Tapi Umaira bukan jenis yang macam itu, kalau tersentuhpun pasti berlapik. Sekali itu sajalah dia mencubit Khairil di lengan. Memanglah Khairil sangat ingin menyentuh kulit mulus Umaira, dia juga ingin tahu losyen apakah yang Umaira pakai hinggakan kulitnya bagaikan ada sinar yang memukau.

“Kau serius ke dengan Umaira? Family kau setuju ke? Bukan satu Malaysia dah tahu kau akan bertunang dengan model terkenal tu?”

Kali ini Khairil terdiam. Berita yang dia akan bertunang dengan Puteri memang sudah tersebar. Lagilah baru-baru ini khabarnya Puteri sudah membuat kenyataan akhbar yang dia akan bertunang dengan CEO baru Mega Holdings. Ini semua rancangan mommy.

“Aku cuma nak Umaira, kau tolong aku jadi wali.” Khairil cuba nasib jer. Mana tahu abang Ngah Umaira nak setuju dengan dia.

“Gila agaknya kau ni.”

“Ialah, memang gila. Gilakan adik kau yang cantik tu.”

Kereta dipandu masuk setelah melalui pondok pengawal. Memasuki kawasan perumahan elit yang besar dan cantik senibinanya. Khairil menjeling Farid di sebelah. Dia nampak wajah teruja lelaki itu.

“Kau tinggal dengan family ke kat sini?” Soalan Farid sebaik kereta di parkir di halaman sebuah banglo.

“Taklah. Ni rumah aku dengan Umaira. Family tinggal tempat lain.”

Kagum. Itulah gambaran pada wajah Farid sekarang ini. Lebih lagi bila mereka memasuki rumah. Khairil beli banglo ini dari sahabat adiknya Khairina. Sahabat adiknya itu telah berhijrah ke Australia. Dia menjual banglo itu siap perabut tak perlulah Khairil hendak bersusah payah membeli perabut baru. Paling menarik hiasan dalaman rumah ini adalah dari hasil kerja Umaira.

Dia melihat keterujaan Umaira sewaktu melangkah ke dalam banglo dua setengah tingkat itu. Katanya dia macam pernah ke sini. Rekaannya macam dia pernah kenal. Allah itu Maha Mengetahui, Khairil beli banglo ini dahulu sewaktu dia belum mengenali siapa Nurin Umaira, juga ketika itu dia belum lagi menjadi CEO Mega Holdings.

“Buat macam rumah sendiri ya. Aku nak mandi sekejap.” Khairil terus ke tingkat atas. Pantas menanggalkan seluar slack yang telah dua hari dipakai. Mencapai tuala dan terus ke bilik mandi. Dia perlu menyegarkan badan walaupun perutnya sudah berkeroncong semacam.

Kalau nanti dia suruh Farid yang memandu, hendakkah dia ya? Khairil pening kepalalah. Mungkin angin gastrik sudah memasuki kepala.

Dia bersiap ala kadar. T-Shirt Polo disarung ke tubuh. Denim blue black sudah dipakai. Biarlah santai sahaja pakaiannya. Lagipun hanya hendak makan tengahari di rumah abang Long Umaira, bukan ada appointment meeting dengan client.

Dia menghantar pesanan WhatsApp kepada Helmi, menyatakan yang dia tidak masuk ofis hari ini. Pandai-pandai Helmilah hendak memberitahu yang lain dan membatalkan semua appointmentnya. Sekarang ini perkara yang paling utama adalah menawan hati keluarga Umaira.

“Kau drive, aku belum mahir sangat jalan kat KL ni.” Kunci kereta dibaling ke arah Farid. Dia lihat lelaki itu tak merungut. Mungkin teringin juga hendak memandu kereta sport. “Kita naik S8 ya. R8 nak kena hantar bengkel. Kereta kat garaj. Jom.”

“Kau memang minat Audi ke? Berapa banyak kereta Audi kau?”

“Dua ni jer. Mula-mula dulu ingat nak beli Jaguar ke, Lamborghini ke.. Ah, malaslah.” Jawab Khairil sedikit berlagak. Dia lebih dari mampu membelinya, namun dia agak selesa memakai Audi.

“Kereta Malaysia pun ok apa. Tak payah nak eksen sangatlah.” Farid berkata sinis.

Khairil hanya tertawa. Tiada niat untuk perlekehkan kereta buatan manapun, yang sebenarnya kereta Audi yang dipakainya itu diberi oleh company, bukan kereta yang dibelinya sendiri.

Khairil hanya berdiam diri sepanjang perjalanan. Dia lihat Farid juga tenang dengan pemanduannya. Kalau dia terlelap sekejap agaknya, Farid mengamuk tak? Perut lapar, mata mengantuk. Hatinya pula rindu sangat pada Umaira. Dia membelek Iphone di tangan. Menghantar pesanan rindu buat Umaira di WhatsApp. Tadi sewaktu di dalam bilik mandi sempat dia berselfie, wajahnya yang lebam buat tatapan Umaira. Gambar itu dihantar ke WhatsApp Umaira dengan pesanan ‘hadiah perkenalan dari angah’.

Khairil Izhan tidak pernah terfikir kisah dia dengan Umaira akan jadi heboh di pejabat. Kasihan gadis itu dituduh sebagai skandal Mr. CEO. Ya, kalau dia skandal sekalipun, aku akan kahwini dia walau dengan apa cara sekalipun. Tak dapat cara baik, ada cara kasar yang boleh dilakukan. Hati hitamnya berjanji.

Dia memuat naik gambar selfie nya tadi ke Instagram miliknya dengan caption: Inilah akibatnya kalau berani bawa lari anak gadis orang. I love my scandal.



, ,

Sunday 22 April 2018

I’m A Crochet Lovers - Victorian Lattice Table Cover

As Salam..


Hai kawan2 crocheter, apa khabar? Lama saya tak ber story mory pasal crochet kan.. kebelakangan ni agak sibuk dgn kerja seharian.


Kalau hari raya tahun lepas saya baru berdikit2 nak buat granny square crochet, jadi tahun ni saya berangan2 nak buat Victorian Lattice square pula. Alhamdulillah. Akhirnya setelah bersusah payah akhir nya berjaya.

Saya x ada pattern / diagram nak kongsi. Tapi saya belajar buat Victorian Lattice square dari youtube. Kat sini kalau you all nak belajar dari youtube. Ada banyak juga cara-cara nak kait victorian lattice square kat youtube. You all boleh saja pilih yang mana you all rasa senang nak ikut.

Untuk alas meja sofa, saya perlukan 45 keping untuk dapatkan alas meja yang sedikit labuh dari saiz meja saya 45 inci x 22 inci. Dan saya gunakan 5 jenis warna yang berlainan, untuk nampak lebih ceria. Jadi setiap 5 jenis warna saya perlukan 9 keping untuk jadikan kesemuanya 45 keping.

Sebabkan pada awalnya saya dah mulakan kepingan victorian lattice saya dengan jenama benang yang berlainan, jadinya saiz setiap keping tu pun berlainan. Dan lagi pula, nak dijadikan cerita, jarum jahit / hook 3.5 m saya pula hilang. Adoi. Menambahkan pening sebab bila saya buat dengan jarum / hook bersaiz 3.0 m saiz kepingan saya pula jadi berlainan, sedikit kecil dari yang lain.

Inilah dia risiko nya. Jadi kalau kita nak mulakan suatu projek, saya galakkan you all beli benang yang berlebihan dan dari jenama yang sama, supaya bila dah start buat, tak jadi macam saya. Hehe..

Untuk projek alas meja saya kali ni saya guna benang dari berlainan jenama:

Ondori No 120 : Light Orange
Ondori No 124 : Dark Orange
Nona No 12     : Dark Pink
Nona No 98     : Light Pink
Nona No 21     : Yellow
Nona No 25     : Light Brown (for joining and border)

Satu buku benang akan dapat dalam 2 setengah keping. Jadinya untuk dapatkan 9 keping, untuk satu warna perlukan dalam 4 buku benang. Biar ada lebih benangnya, kalau kurang susah pula nak ke kedai beli benang kan.. 

Okay di sini saya kongsikan beberapa keping gambar victorian lattice yang sudah saya buat. Maaflah kalau x berapa clear, mungkin pengcahayaan masa ambil gambar tu, maklumlah saya ni amatur, x pandai ambil gambar pun. Hehe.

Victorian Lattice Square
Awalnya saya joining menggunakan kaedah jelujur / hidden joining. Tapi sebabkan ni first time saya nak buat joining cara tu, maka langsunglah x cantik. Ditambahkan lagi dengan saiz kepingan yang berbeza, boleh pening dibuatnya.

Victorian Lattice hidden joining
Jadi saya search lagi cara-cara nak joint victorian lattice square saya, maka akhirnya saya cantum guna kaedah 'flat chain stitch seam' boleh tekan sini kalau nak tengok cara-cara joining dari youtube.

Flat Chain Stitch Seam Victorian Lattice
Jadi baiklah. Saya harap apa yang saya kongsikan di sini dapat membantu kawan2 crocheter saya di luar sana. Saya akan kongsi lagi jika saya ada membuat granny square yang baru, 

Sekian. Sampai kita berjumpa lagi.
Wassalam.




, , ,