ilashukri.blogspot.com

Monday 30 April 2018

[ Bab 33 ] Dia Bukan Skandal


KERETA dipandu memasuki sebuah rumah berhalaman luas di kampung Nurin Umaira di Kulai. Rumah kampung, tapi sudah diubahsuai. Luas halamannya, besar juga rumahnya. Seorang pemuda menunggu di pintu. Adik Nurin Umaira, mungkin. Dan bila ayah Nurin Umaira yang keluar dari sebelah pemandu, pemuda itu berlari mendekat.
            
“Ayah beli kereta baru?”
            
“Eh, bukanlah. Ni kereta bos kakak.”
            
Bos kakak? Alahai uncle, cakaplah boyfriend kakak ke. Tak seronok saja bunyinya.
            
“Dah kenapa bawa balik kereta bos kakak? Bukan kakak dah tukar kerja ke? Dia tu siapa?” Mata mereka bertentangan seketika, Khairil Izhan tersenyum manis.
            
“Itulah bos kakak. Dia datang bercuti kat sini.”
            
“Ayah ni pelik-pelik sajalah. Kakak bukan ada kat sini, siapa nak layan dia nanti? Bibir dia kenapa tu, lebam ke?”
            
“Kamu ni Bob, dahlah tak ajak orang masuk, asyik nak tanya itu ini. Dah Khai, mari masuk dulu, jangan dilayan Bob ni.” Sesekali sahaja mendengar suara ibu Nurin Umaira. Namun dia tetap dilayan mesra, walau pandangannya sesekali kelihatan mencurigakan.
            
“Ialah kenapa bawa balik bos kakak? Kakak bukannya ada.” Katanya terhenti dan matanya tepat memandang Khairil Izhan seolah mengingati sesuatu.
            
“Ohhh… Bos kakak, skandal kakak? Ini ke CEO tu? Ah, hensemlah bu. Sesuai dengan kakak. Abang boleh main bola sepak? Takraw? Karom?” Dari wajah penuh tanda tanya kini sudah bertukar ke wajah penuh keterujaan.
            
“Futsal dengan karom tu boleh, tapi takraw tak berapa pandailah.”
            
“Orang London mana main takraw, Bob.” Suara ayah Nurin Umaira yang kemudian menghilang di sebalik dinding. Ialah, tinggal di kampung tentu anak muda belasan tahun seperti Bob akan banyak menghabiskan masa berseronok dengan kawan-kawan di padang. Jika dahulu sewaktu di London, dia hanya suka bermain bola tampar atau bola keranjang. Ada juga dia bermain ragbi, tapi dia lebih gemar mengembara menuntut ilmu dari sebok bersukan.
            
“Nanti petang Bob bawa abang pergi tengok orang main takraw. Beg abang mana?” Khairil Izhan hampir tepuk dahi. Dia terlupa beg bajunya di bonet belakang.
            
“Ada. Sekejap abang ambil.”
            
“Bibir abang tu kenapa?” Masih sempat lagi Bob nak bertanya.
            
“Hadiah perkenalan dari Angah tu. Ayah nak dia tidur sini seminggu. Nak tengok skandal kakak kamu ni, boleh ke dia jaga kakak. Boleh ke orang kaya duduk rumah macam kita, pandai tak dia mandi air perigi. Pandai tak dia bergaul dengan orang kampung, orang masjid. Nak anak pak cik, Khai kena biasakan diri dengan semua tu.”
            
Pergh. Khairil Izhan rasa nak pitam mendengarnya. Jika sedari tadi ayah Nurin Umaira hanya berbual kosong dengannya, kini kata-kata tegas yang keluar dari mulutnya memang buat Khairil Izhan rasa macam nak tercekik sekarang ni.
            
“Sebenarnya Bob tak faham, apa maksud skandal tu?”
            
“Ishk, jangan sebutlah perkataan skandal tu Bob. Buat malu jer, kasihan kat kakak.”
            
“Aah, tahu kamu malu, kasihan kat Umaira ya, Khai. Masa kamu bawa dia sana sini kamu tak kasihan, kamu tak fikir macam-mana esok lusa kalau orang dapat tahu. Macam-mana reaksi keluarga dia, macam-mana tanggapan orang sekeliling, macam-mana nasib yang bakal terjadi esok hari.” Jelingan mata ibu Nurin Umaira rasanya bagaikan panah terus tembus pada jantung Khairil Izhan. Argghh… Sakitnya tak boleh nak kata. Itulah khilaf Khairil Izhan yang buat sesuatu tidak berfikir panjang.
            
“Maafkan Khai, mak cik, pak cik, Bob.. Kalaulah Khai boleh tebus semuanya.. Hari ni pun Khai sanggup buat apa sahaja, asal jangan suruh Khai lupakan atau jauhi Nurin Umaira sudahlah.” Wajahnya sudah tertunduk.
            
Dia kemudiannya bersandar di sofa, menahan satu rasa di dalam hatinya. Dan dia juga tertanya kenapa dia buat semua itu. Kenapa dia tidak berfikir baik buruk. Dia bukan tidak ada didikan agama, dia juga mendalami ilmu di Mesir, tapi kenapa dia cepat terpedaya dengan ajakan syaitan. Yang menjadi mangsanya Nurin Umaira, kasihan gadis manis itu. Rindunya dia pada seraut wajah cantik itu, tentu dia sedang bersedih sekarang ini.
            
“Pergi rehat dulu kat bilik Umaira. Maghrib nanti kita solat kat Masjid.”
            
“Jom abang, kita naik motor ronda-ronda kampung.” Tangannya terus di tarik Bob. Mungkin sebab anak bongsu, Bob agak manja sedikit. Bila ditanya usianya, katanya sudah 17 tahun, tapi dari gaya macam baru 12 tahun sahaja.
            
Dari Bob dia mengenali semua adik-beradik Nurin Umaira. Jika tadi dia takut hendak bertanya dengan si ayah, kini banyak soalan dia ajukan kepada Bob.
            
Haris, Farid, Fattah adalah abang kepada Umaira, mereka semua sudah berkahwin dan tinggal di KL dan Kuantan. Hafiz, Luqman dan Bob adik lelaki Umaira. Hafiz dan Luqman menuntut di Universiti Utara Malaysia, cuma Bob sahaja yang belum menyambung pelajaran.
            
Tapi khabarnya, Hafiz dan Luqman akan pulang bercuti esok. Dapatlah dia mengenali dua beradik itu nanti.
            
“Kak Umaira pernah panjat pokok tu tau, abang. Dia lebih ganas dari kami semua. Dulu ada seorang lelaki ni suka kat dia, tapi bila datang beraya, tengok abang-abang kak Umaira, terus dia tak jadi nak mengurat. Dia kata abang Farid garang. Mana ada garang, misai dia saja yang nampak garang.”
            
“Kak Umaira cantik. Orang kampung suka kak Umaira. Ramai dah pinang kak Umaira, tapi dia tak nak, dia kata dia dah ada boyfriend. Tapi bila tanya mana orangnya, tak adalah pula dia nak bawa balik kenal kat family.”
            
“Abang tahu, sebab dia dah berjodoh dengan abang. Abanglah boyfriend dia tu.”
            
“Hah, cliche lah abang ni.”

Mereka tertawa. Ialah Bob, betullah tu, memang Nurin Umaira sudah berjodoh dengan Khairil Izhan. Kami sudah berjodoh dari kecil.

“Abang memang betul-betul sayang kak Umaira ke?”

“Betullah. Kenapa?”

“Ialah, abang kaya, abang duduk London. Kakak tu, orang kampung. Tak baik kalau abang main-mainkan kakak. Ayah memang sayangkan kakak sangat, dia sentiasa tanya khabar kakak. Kak Umaira sakitpun dia tahu. Tak tahu dari mana abang Farid dapat gambar kakak, teruk kakak kena marah. Sampai ayah suruh berhenti kerja. Bila kakak kena pergi Kuala Terengganu ayah sanggup turun KL sebab nak tengok kakak. Abang jangan main-mainkan kakak tau, dia satu-satunya permata dalam keluarga kami. Kami semua sayang kakak.”

Wajah Bob Khairil Izhan pandang lama. Nafasnya dihela perlahan. Abang janji abang akan jaga kakak seperti menjaga diri abang sendiri. Abang sayangkan kakak, abang cintakan kakak. Bob percayalah. Abang tak akan sia-siakan kakak. Abang akan jadi pelindung kakak, superhero kakak, lelaki terakhir kakak, Imam kakak, pemandu kakak ke syurgawi.

“Kakak tak pernah ikut lelaki, tak tahu macam-mana dia boleh ikut abang.” Bob masih dengan cerita tentang Nurin Umaira. “Mungkin betullah agaknya memang abang dan kakak ni berjodoh. Cuma permulaan cerita jodoh abang dan kakak ni tak berapa elok. Ayah pesan tadi, jangan ada sesiapapun beritahu kakak, abang ada kat sini. Takut kakak marah. Jadi abangpun jangan memandai nak beritahu kakak pulak.”

“Kakak kat Kuala Terengganu ya, Bob?”

“Aah, tak akanlah abang tak tahu?”

“Semua orang tak beritahu abang.”

“Kat resort apa entah namanya, ibu kata, kakak kena ganti orang cuti bersalin kat sana.”

“Ohh…” Khairil sudah tahu tempatnya. Senyuman terukir lebar di bibir. Alahai. Kat situ rupanya kesayangan hatinya itu. Sabarlah duhai hati, seminggu bukannya lama sangat. Ke Kuala Terengganu pulalah kita nanti.


, ,

No comments:

Post a Comment