ilashukri.blogspot.com

Thursday 3 May 2018

[ Bab 34 ] Dia Bukan Skandal


NURIN Umaira disambut seorang perempuan hamil dan seorang lelaki di airport. Dia memang tak kenal sesiapa di Kuala Terengganu ini. Mereka memperkenalkan diri sebagai Zulaikha, pengurus yang akan mula cuti bersalin dua hari sahaja lagi dan suaminya Zakwan.  Mereka kemudiannya membawa Umaira makan dan berjalan-jalan di dalam kawasan resort.
            
“Tak apalah Zue, saya dah biasa tinggal seorang. Lagipun resort dekat saja dengan rumah.” Dia sengaja memilih rumah pekerja di taman perumahan itu dari memilih rumah di dalam kawasan resort, biar dia tidak sentiasa diperhatikan. Lagipun dia benar-benar ingin menyendiri sekarang ini. Ingin membawa hatinya yang kecewa.
            
“Betul ni?”
            
Umaira hanya mengangguk. Berkali-kali Zulaikha dan suaminya mengajak dia bermalam di rumah mereka sahaja, memandangkan Umaira pasti penat dengan perjalanan.
            
“Kita jumpa esok, ya. Nanti esok Zue akan tunjukkan kerja-kerja yang Nurin perlu buat. Kalau perlukan apa-apa, call Zue”
            
Senyuman terukir di bibir Zulaikha. Umaira sedikit teragak untuk membalasnya. ‘Dia orang tahu ke cerita tentang aku? Aduh, malunya…’

Umaira cuma nak berehat sahaja sekarang ni. Nak berbaring dan lelapkan mata.
            
Tak ada gunanya nak malu sekarang ni. Perkara sudahpun berlaku. Umaira mengetap mangga di pagar. Sebuah kereta company sudah ada di parkir. Umaira melangkah masuk ke dalam rumah yang sudah siap berperabut itu. Simple sahaja hiasan dalamannya, namun sudah mencukupi buat Umaira yang tinggal sendirian.
            
Dia menuju ke dapur, menyusun sedikit barang dapur yang dibekalkan Zulaikha dan suaminya. Ada Maggie. Malam nanti Umaira makan Maggie sahajalah, esok nantilah dia makan yang sedap-sedap di Kuala Terengganu ini.
            
Nasi dagang. Ya dia teringin hendak bersarapan nasi dagang. Orang kata nasi lemak dan nasi minyak Terengganu pun sedap. Ah banyak menu yang ingin Umaira cuba.
            
Dia kemudian menarik beg berodanya ke dalam kamar utama. Malas hendak berkemas, badannya terus dibaling ke atas katil. Tudung instant ditarik dan mukanya terus disembamkan ke bantal. Esak tangisnya memenuhi kamar itu.
            
“Maafkan Umaira, ayah.. ibu.. abang.. Umaira bodoh.”
            
Ayah adalah setenang-tenang orang, bila Angah teruk memarahinya. Semua yang keluar dari mulut Angah sangat menyakitkan hati.
            
“Kakak ni macam tak ada pendidikan agama. Yang pergi ikut jantan tu buat apa?”
            
“Kakak tak buat apa-apapun, abang Ngah. Kakak jalan-jalan saja dengan dia.”
            
“Jalan-jalan konon. Entah-entah dah buat lebih dari tu.”
            
“Angah!” Abang Long Haris datang mendekati. “Jadi sekarang kakak nak buat macam-mana, nak berhenti kerja dan ikut ayah dengan ibu balik kampung ke, atau nak teruskan dengan rancangan majikan kakak?”
            
“Berhenti sajalah. Setakat kakak, duit pencen ayahpun cukup nak beri makan.” Ayah mula bersuara. Memang ayah suka kalau Umaira balik tinggal di kampung.
            
“Bagi kakak pergi sana dulu boleh?”
            
“Tengok. Dia masih nak jumpa budak lelaki tu lagi.” Angah ni, mulut memang suka cakap lepas sajalah.
            
“Dia tak tahu kakak kena pergi sana. Dia ingat kakak kena transfer Sibu.”
            
“Alah, orang macam dia tu sekejap saja dia akan tahu kakak dekat mana. Dia bukan tak ada duit nak upah orang cari kakak. Degil, orang suruh balik kampung lagi nak kerja makin jauh. Dah jauh macam tu, siapa yang nak jaga kakak nanti?” Memang apa yang Angah Farid cakap itu ada betulnya. Lagi jauh dia dari keluarga, sebenarnya lagi membahayakan dirinya.
            
“Kalau tiba-tiba dia dah ada kat sana, ajak kakak kahwin lari, kakak nak ke? Sedangkan dah keluar surat khabarkan, kata CEO Mega Holdings tu akan kahwin dengan model tu. Kakak nak ke, lepas dia kahwin lari dengan kakak, dia kahwin pula dengan perempuan lain. Suka macam tu?”
            
Semakin kuat esak tangisnya setiap kali teringatkan kata-kata Angah. Ia benar, dia akui, dia juga risau kalau-kalau sungguh Khairil Izhan mengajaknya kahwin lari, sedangkan dia bukan tidak pernah dengar lelaki itu mengajaknya ke Thailand untuk kahwin di sana.
            
Tapi Nurin Umaira belum lagi gila hendak mengikut kata lelaki itu, walau dia tahu dia sangat cintakan Khairil Izhan. Dia punya keluarga, dan dia mahu perkahwinannya nanti biarlah mengikut adat dan agama. Bukan kahwin tangkap muat.
            
Dia berjanji dengan dirinya, akan dia jaga nama baik keluarga. Akan dia jaga tingkah lakunya. Cukuplah dia sudah mencemarkan nama baik keluarganya. Perihal Khairil Izhan, perlahan-lahan nanti dia pasti mampu untuk melupakan lelaki itu.
            
Jue, tolong jagakan Encik Khai untuk aku… rintihnya.
            
Entah bila dia terlelap dan bila terjaga Maghrib sudah menjelma. Dia melangkah lemah membuka suis lampu. Meninjau ke dapur melihat apa yang hendak di masak buat makan malam nanti.
            
Bermalam di tempat baru, Nurin Umaira duduk lama di sejadah, membaca kitab suci Al-Quran yang memang sudah ada di dalam bilik. Sesungguhnya, ayat-ayat Allah yang tersusun indah di dalam Al-Quran sangat menenangkan hati saat membacanya.

            
Dengan menyerahkan diri pada Allah, dia memiliki keyakinan untuk menghadapi hari esok.


, ,

No comments:

Post a Comment