ilashukri.blogspot.com

Thursday 1 February 2018

[ Bab 26 ] Dia Bukan Skandal


“KITA pergi butik Khairina dulu ya. You tunggu dulu kat situ, I ada hal sekejap.” Sebaik mendapat panggilan dari Tan Sri Sufrie tadi, Encik CEO nampak seperti tertekan. Dia asyik melihat iPhone nya. Sesekali menggelengkan kepala. Mungkin ada sesuatu yang tidak kena.
           
“You tunggu sini dulu, nanti Khairina bawa you, okay. I ada hal sekejap.”
           
“Awak nak pergi mana?” Nurin Umaira terasa berdebar, seperti ada sesuatu yang buruk bakal berlaku. Sedari tadi hatinya berasa sangat tidak tenang. Manakan tidak, seawal pagi Izhan sudah mengajak dia pulang.
           
“Khairina dia keluar sekejap, nanti dia balik, you pergi dulu dengan dia. Kita jumpa kat sana ya, then I hantar you balik. Okay, sayang?”
          
Okay, sayang? Oh, hati Nurin Umaira sentiasa berbunga-bunga dengan panggilan tu. Apatah lagi dengan hadiah flying kiss dari Encik CEO, bertambahlah merah muka Nurin Umaira. Bahagianya bila ada seseorang yang sudi menyayangi dirinya. Dua hari bersama Izhan entah sudah berapa kali Encik CEO itu memanggilnya ‘sayang’.
            
Nurin Umaira hanya mampu melihat Encik CEO menghilang di sebalik pintu. Menaiki kereta Audi mewahnya. Mungkin dia ada hal penting sebab itu dia harus pergi. Nurin Umaira membelek-belek beberapa helai pakaian yang tergantung. Semua cantik-cantik, standard Mak Datin. Orang kerja biasa-biasa macam Nurin Umaira memang tidak mampu hendak membelinya.
            
“Kak Umaira, sini..” Dia digamit Ain, pembantu Khairina.
            
“Kenapa?”
            
“Sembunyi sini dulu, Puan Sri Maria datang.” Dia disuruh menyorok di dalam fitting room. Puan Sri Maria bukankah mommy Encik CEO? Kenapa dia perlu menyorok? Dia bukan kenal siapa Nurin Umaira pun.
            
“Mommy geram betul dengan abang kamu tu. Bukan dia tak tahu yang mommy nak jodohkan dia dengan Puteri.” Dia dapat dengar dengan jelas suara Puan Sri Maria di sebalik curtain fitting room berbentuk bulat itu.
            
“Sudah-sudahlah mommy nak jodohkan abang tu. Dari abang kecil dia tak boleh nak bersuara, semuanya mommy dah rancang untuk dia, biarlah soal jodoh dan masa depan abang tu dia tentukan sendiri. Yang nak kahwin dan bahagia tu abang, bukan mommy.” Itu suara Qaireen atau juga Khairina nama sebenarnya.
            
“Kamupun nak sebelahi abang kamu? Sama macam daddy?”
            
“Kak Umaira tu baik orangnya mommy. Khairina kenal dia. Sesuai sangat dengan abang, sama cantik, sama padan.”
            
“Kalau dia baik, tak adalah sampai ke bilik hotel, balik rumah abang kamu tu. Ikut abang kamu sampai ke Bukit Tinggi, buat apa semua tu? Perempuan jenis apa macam tu? Secantik manapun dia, pilihan mommy tetap Puteri anak Datok Zamri. Mommy dah janji dah dengan dia.”
            
“Yang mommy berjanji tu buat apa?”
            
“Ishk kamu ni, mommy tak kira esok juga daddy kena transferkan budak perempuan tu ke Sibu, biar dia jauh dari abang, biar mereka terpisah. Sampai bila-bilapun mommy tak akan terima dia sebagai menantu..”
            
Ya Allah.. Mendengar dengan telinga sendiri kata-kata hinaan seperti itu memang amat memedihkan. Nurin Umaira sedar diri. Yang hendak didampinginya itu, seorang CEO dari keluarga kaya. Siapa tidak kenal Tan Sri Sufrie, antara billionaire di Malaysia. Punya aset hampir di seluruh negara.
            
Tapi bukan dia yang tergilakan lelaki itu. Bukan dia yang terhegeh hendakkan lelaki itu.
            
Baru hati hendak menyemai rasa kasih, terasa begitu sukar hendak mendapat hasilnya.
            
Keadaan sunyi di luar. Seketika kemudian dia mendengar suara Khairina memanggilnya. “Kak Umaira, Khairina buka ya curtain ni?” Dia tidak menyahut, kerana sekarang ini jiwa Nurin Umaira kosong.
            
“Kak…” Khairina meraih tangannya. Kedua tangannya menggenggam erat jemari Nurin Umaira, seolah dia sedang memberikan kekuatan buat Nurin Umaira berdiri.
            
“Kakak tak apa-apa.” Hanya itu yang mampu dia tuturkan, walhal hatinya sudah pecah berderai, bagai kaca terhempas ke lantai.
            
“Jom kita pergi makan. Tentu abang dah tunggu..”
            
“Kakak tak naklah. Kakak nak balik..” Hatinya sangat sayu sekarang ini. Dia sangat berharap agar Juita atau sesiapa sahaja menghubunginya, agar boleh dia menyuruh mereka mengambil dia di sini.
            
Dia melabuhkan punggung di sofa. Dia mendengar Khairina berbual dengan seseorang di telefon, namun dia tidak dapat mendengar dengan jelas perbualan mereka. Biarlah, dia tidak mahu mencampuri urusan keluarga ini lagi. Kalaupun benar dia akan ditukarkan ke Sibu, dia rela. Biarlah dia membawa hatinya jauh dari Encik CEO. Dia tidak mahu dituduh yang bukan-bukan.
            
iPhone di tangannya bergetar. Nurin Umaira tertera di skrin. Ah kenapa dia tidak terfikir hendak menelefon nombornya sendiri, tentu sahaja Juita yang akan menjawabnya. Dia menekan warna hijau. Pantas dia berkata sebelum sempat Juita hendak bersuara.
            
“Jue, tolong ambil aku kat area Qaireen Qaseh. Aku tunggu kau kat tepi simpang dekat dengan 7E.” Talian dimatikan dan iPhone itu diletakkan di atas meja kopi. Dengan pantas dia keluar dari butik Qaireen Qaseh tanpa memberitahu sesiapa dan terus berjalan ke arah 7E di hujung simpang. Menyorok seketika di situ sementara menunggu Juita sampai.
            
Juita tiba kira-kira 40 minit kemudian. Untung dia ternampak Myvi kesayangannya kalau tidak mahu terlepas. Di dalam kereta puas dia dibebel Juita.
            
“Kau tahu tak, arini dah viral dah dalam group ofis, yang kau ni skandal Encik Khai. Kau boleh pula main tarik-tarik kat lobi, yang paling aku marah tu, kau keluar dari bilik hotel dengan dia pukul 3 pagi. Ya Allah, Nurin Umaira, kau tak jaga diri kau. Sekelip mata saja maruah kau orang hina. Dah tu kau menghilang sampai dua hari. Tau-tau kecoh kau kat Bukit Tinggi dengan dia. Aku tahulah dia secret admirer kau, dia Mr. MMK kau, tapi kau kan dah besar, tahu hukum hakam.” Sebaik dia memasuki kereta dia terus dibebel Juita.
            
“Tapi aku tak ada buat apa-apapun.” Matanya menekur hujung kaki.
            
“Itu kata kau. Kata orang lain? Dia tu CEO, kau tu siapa? Yang kena hina nanti orang marhaen macam kita ni. Orang tak akan pertikaikan tentang dia. Dia tu orang kaya, CEO, kau faham tak? Orang standard dia tu, nak ada perempuan banyak mana pun mana orang kesah.” Tinggi nada suara Juita. Marah sungguh sahabatnya itu. Ini kalau family dia tahu, tentu marahnya lagi berganda.
            
“Tapi dia kata dia suka aku, dia cintakan aku..dia nak kahwin dengan aku..” Nurin Umaira sudah tidak mampu menahan rasa sebak di dadanya. Dia menangis teresak-esak mengingati setiap kenangan indahnya bersama Khairil Izhan, Encik CEO nya.
            
“Ia, kalau dia mainkan kau macam-mana? Kau dah bagi seluruh diri kau pada dia ke?”
            
“Aku bukan perempuan semurah itu, Jue.”
            
“Baguslah. Aku risau sepanjang hari memikirkan kau. Puas aku try code phone kau tu, nasib akhirnya berjaya. Dah hampir nak kena block dah Huawei kau tu. Cuba kau tengok kat group, gambar kau dengan Encik Khai bukan main banyak lagi.”
            
Wajahnya masih sugul. Beberapa keping gambar yang dia lihat, memang jelas menampakkan wajahnya. Topik hangat dibincangkan, Nurin Umaira, skandal Mr. CEO. Argh, sakitnya hati.
            
Kereta dihentikan di hadapan pagar rumah sewa mereka. Nurin Umaira keluar dari kereta dan membuka pagar. Namun belum sempat pagar di tolak, seorang lelaki mendekatinya.
            
“Umaira..”
            
“Encik Khai baliklah. Tak manis orang tengok, cukuplah Umaira dihina, dituduh jadi skandal Encik Khai. Cukup-cukuplah tu.” Juita menarik Nurin Umaira kembali ke kereta.
            
Please, Umaira. You tahukan I sayangkan you. Just ignore what others said. Yang nak bahagia tu kita, bukan dia orang.”
            
“Awakkan nak kahwin dengan Puteri. Biarkanlah saya…” Tidak mampu untuk dia terus menuturkan kata, bila airmatanya turun membasahi pipi tanpa mampu dia tahan. Melihat wajah yang membahagiakan dia sepanjang dua hari tu, hatinya diusik rasa sedih.

“I tak akan kahwin dengan Puteri, I cuma nak kahwin dengan you. Depan Juita, I nak beritahu, kalau you setuju kahwin dengan I sekarang juga kita balik kampung you. I don’t care apa my mom nak cakap, sekarang ni apa yang penting hati dan perasaan I. Cukuplah dah 30 tahun family I rancang hidup I. This time around, biar I decide my future. And my future adalah untuk bersama you, forever.”

Semalaman itu dia puas menangis. Apatah lagi bila abang Ngah datang tanpa salam. Terus sahaja memarahinya tanpa soal selidik.



, ,

No comments:

Post a Comment