ilashukri.blogspot.com

Friday 4 May 2018

[ Bab 35 ] Dia Bukan Skandal


NURIN Umaira membaca malas setiap meseg yang diterima di WhatsApp. Ada juga antara sahabatnya yang memberikan kata-kata semangat, namun ada juga yang mengutuknya, lebih lagi di group office. Ah, semalam dia sudah ‘left group’, biarlah, lagipun dia sudah tidak bekerja di Mega Holdings, dia sudah dibawa jauh dari company itu.
            
“Tiket semua dah siap booking atas nama Cik Umaira, Tan Sri pesan, pergi sana dulu gantikan Zulaikha, dia akan cuti bersalin dalam beberapa hari lagi. Tan Sri suruh rehat-rehat di sana.”
            
Rehat-rehat? Baik sungguh hati Tan Sri Sufrie, dia bukan di suruh ke Sibu tapi ke Kuala Terengganu ke resort yang katanya baru diambil alih. Zulaikha ada bercerita, katanya pemilik lama menjual resort itu kepada Tan Sri Sufrie. Baru juga bertukar owner, sehinggakan segala hal berkenaan pentadbiran dan semuanya belum lagi diselesaikan. Buat masa sekarang semuanya mengikut pentadbiran lama.
            
Umaira menyambung tugas Zulaikha, di dalam bilik Pengurus. Ah, ada bilik sendiri rupanya. Sebiji walkie-takie diberikan padanya senang jika hendak berhubung dengan staff di resort itu. Dia juga diperkenalkan pada setiap seorang staff dan diterangkan tugas yang akan digalas. Ah, tiga bulan bagaimanakah nanti dia akan menguruskan hal berkenaan resort indah yang menghadap Laut China Selatan itu.
            
Handphone di dalam poket dikeluarkan. Dia ingin melihat kembali gambar yang dia dapat semalam dari Izhan. Hatinya sangat tersentuh semalam, namun dicekalkan. Airmatanya gugur lagi membasahi pipi. Sungguh ke angah yang menumbuk Izhan sampai bibirnya lebam begitu.
            
“Jue… Encik Khai ok tak?”
            
“Helmi kata Encik Khai tak masuk office sejak hari tu.”
            
“Dia pergi mana?”
            
“Tak tau. Call dia pun tak dapat. Helmi kata Encik Khai tak mahu diganggu. Aku dengar Puan Seri singa tu mengamuk kat ofis Tan Sri. Dia cari Encik Khai pun tak dapat.”
            
“Kasihan dia..”
            
“Aku rasa dia cari kau kat Sibu kot..”
            
Cari Umaira kat Sibu? Umaira ada kat sini, Izhan.. Umaira ada kat Kuala Terengganu.. Jangan cari Umaira kat Sibu..
            
“Dia kena tumbuk dengan siapa, Mai?”
            
Angah. Ayah beritahu semalam, ayah jumpa Encik Khai kat airport.”
            
“Mai.. Encik Khai tu memang sukakan kau laa. Dari cara dia, tengok dia sanggup kejar kau sampai ke airport, tunggu depan rumah sewa kita.. Kalau dia main-main, dia tak akan jatuhkan maruah dia kejar perempuan macam kita ni. Dia tu dahlah ada rupa paras, kaya-raya, anak jutawan, dia tak kerja pun harta dia tak habis makan bertahun. Dayang kata, kau dah macam Cinderella..”
            
Cinderella? Banyak halangan dalam cinta Cinderella, mungkinkah juga cinta mereka akan ada banyak halangan nanti? Tapi Cinderella ada mak tiri dan kakak tiri, Umaira tak ada.
            
“Diapun tak malu nak tunjukkan bibir lebam dia sebab bawa lari anak dara orang. Dia dah tunjukkan gambar kau pun kat semua followers dia.. kalau dia tak suka dia tak akan buat macam tu. And he keep calling you ‘my bride to be’.. Serius lah tu.”
            
Dia asyik teringat perbualan telefonnya dengan Juita. Juita juga ada memberitahunya, Khairil Izhan memang bersungguh dan serius dengannya. Mungkin juga sekarang ini dia sedang mencari Umaira. Mungkin juga sekarang ini dia sedang patah hati dan membawa dirinya, atau sedang cuba melupakan Umaira.
            
Argghh, Umaira rindukan Khairil Izhan, Umaira sangat rindukan lelaki itu. Ya Allah, jagakan dia untukku. Jagakan hatinya, berikanlah dia kesihatan yang baik Ya Allah.
            
Sesungguhnya Umaira tidak putus berdoa pada Allah untuk Mr. CEO nya, sedangkan kesihatan sendiri tidak dijaga. Makan minumnya tidak terurus. Walau ada yang mengajaknya makan tengahari namun dia tidak larat untuk bangun dan berjalan.

Sementara itu, Khairil Izhan sedang tertawa senang di rumah Umaira. Perutnya kenyang dengan masakan enak ibu Umaira. Ah, bukan sahaja dia boleh habiskan seminggu di sini, sebulan, setahun pun boleh. Malam semalam dia asyik bermain karom dengan ayah Umaira dan Bob. Dan sekarang ini, dia sudah berada di Stesyen bas Larkin, mengambil Hafiz dan Luqman yang pulang bercuti.
            
Kedua adik Umaira itu menyambutnya mesra.
            
“Aik, sampai lebam bibir tu bang, kuat ke Angah tumbuk?”
            
“Haha! Boleh tahan jugalah. Tapi Angah pengelat, dia tumbuk masa abang tak bersedia. Angah pukul curi.” Katanya tak mahu kalah.
            
“Habis tu, Khai nak repeat semula ke dengan Angah?”
            
“Eh, tak naklah uncle. Tak kan nak tumbuk bakal abang ipar, ye tak?” Dia tertawa kecil. Tawanya disambut keluarga Umaira. Walau bibirnya sentiasa mengukir senyum dan tertawa namun jauh di sudut hatinya dia sangat rindukan Umaira. Dia ingin berada dekat dengan gadis itu, dia ingin melihat wajah manis dan ayu itu. Dia sangat rindukan senyuman yang terukir di bibir nipisnya itu.
            
Saat bersendirian di dalam bilik Umaira, dia membelek gambar gadis itu yang cantik di frame di atas meja sisi katilnya. Gambar itu menjadi peneman sepinya, pengubat rindunya. Bagaimana dengan Umaira, bagaimanakah dia menghabiskan malamnya, jika dia kesepian dan bersedih. Khairil Izhan tidak mampu berfikir, di kala ini dia hanya berdoa agar si cantik manis Nurin Umaira sentiasa berada di dalam lindungan Allah.
            
Ah, dia harus mencari jalan untuk memperisterikan Umaira, dia mahu gadis itu menjadi miliknya seorang. Dia mahu gadis itu sentiasa ada di hadapan matanya. Dia mahu meraih tubuh genit itu dalam pelukkannya. Dia mahu… aaahhhh, dia mahu segalanya. 


, ,

No comments:

Post a Comment