ilashukri.blogspot.com

Friday 4 May 2018

[ Bab 36 ] Dia Bukan Skandal


NURIN Umaira hanya membontoti Hana dan Ishaq. Baik sungguh hati keduanya hendak membawa dia berjalan-jalan di Pantai Batu Burok. Umaira pun tidak tahu kenapa dia mahu mengikut pasangan kekasih itu. Mungkin dia rasa seronok melihat kemesraan mereka.
            
Umaira banyak tersengeh dari menjawab atau menyampuk perbualan Hana dan Ishaq. Loghat Terengganu mereka pekat dan ada antara tutur mereka yang langsung tidak difahaminya.
            
Melihat Hana dan Ishaq, hatinya cepat teringatkan Khairil Izhan. Sedang buat apakah dia, dan di manakan dia sekarang ini? Pertanyaan itu kerap bermain di fikiran. Kerap berlegar-legar di dalam kepala. Ah, selagi dia tidak bertemu dan mengetahui perihal Izhan dia menjadi tidak senang.
            
Walau siang hari dia cuba menyiapkan segala kerja yang diamanahkan, namun ada ketika dia akan mula murung dan asyik teringatkan kekasih hati. Kenapa dia langsung tidak menghubungi Umaira. Dan Umaira juga rasa takut hendak menghantar pesanan. Mungkin sekarang Izhan sedang marah kepadanya, kerana melarikan diri.
            
Atau mungkin benar dia ke Sibu untuk mencari Umaira. Namun berita yang didengar dari Helmi, Encik Khai tidak pernah ke Sibu, malah sudah disiasat, tidak ada tiket penerbangan yang dibeli atas nama Khairil Izhan. Jadi di mana dia sekarang?
            
Berikanlah dia waktu untuk menenangkan hati. Sampai waktunya nanti, jika ada jodoh mereka, pasti akan bertemu.
            
“Cik Nurin, jom makan sotong goreng.” Sepatah-sepatah tutur Ishaq, agar mudah difahami Umaira. Ya di Kuala Terengganu ini dia mahu dikenali sebagai Nurin, bukan Umaira seperti kawan-kawan di company lamanya. Biarlah mereka memanggilnya Nurin, agar dia dapat melupakan kenangan sebagai Umaira.
            
Inilah istimewanya Kuala Terengganu. Makanan laut yang digoreng tepung memenuhi kaunter. Pilih sahajalah. Besar-besar udang dan sotong. Menambat selera Umaira. Dia sudah menikmati nasi dagang yang diidam, dia juga sudah merasa nasi minyak dan nasi lemak Terengganu sahaja yang dia belum cuba. Kelmarin, bukan main banyak lagi makanan tempatan yang dibeli kawan-kawan barunya, hanya untuk menjamu Umaira.
            
“Cik Nurin..”
           
“Saya..”
           
“Cik Nurin selalu termenung, teringatkan siapa?”
            
“Rindu kampung ya?”
            
Tidak ada seorangpun yang bertanya pada Umaira tentang kisahnya yang hangat diperkatakan. Mungkin berita itu tidak sampai kepada mereka di sini. Ialah, mereka dari syarikat yang lain, bukan Mega Holdings. Lagipun baru sahaja Tan Sri Sufrie mengambil alih resort ini, mungkin juga mereka belum mengenali Tan Sri Sufrie, sebab itulah tidak terdengar khabar angin tentang skandal Mr. CEO.
            
“Haah, tentu rindu boyfriend ni?”
            
Nurin Umaira tertawa riang. Sudah beberapa hari dia tidak tergelak dek kerana jiwa kacau yang mengganggu.
            
Dia senang bekerja di sini. Walau kakinya sakit, sebab kena banyak meronda di kawasan resort, namun dia senang hati. Tan Sri Sufrie juga sudah memberikannya lampu hijau jika ada landskap yang hendak di tukar, Umaira boleh melakar pelan baru. Mana-mana yang perlu ditukar, list kan sahaja, sampai masa mereka akan bermesyuarat. Jadi untuk beberapa hari ini, Umaira hanya berpusing sekeliling resort mencari apa yang boleh diubah ataupun ditokok tambah.
            
“Okay dok tinggal sini?”
            
“Okay sangat. Pemandangan cantik-cantik. Orang-orangnya pun baik-baik semuanya.”
            
“Itulah Cik Nurin suka duduk dalam rumah, selalulah ikut jalan.”
            
“Seganlah nak ikut you alls. Saya tak faham kadang apa you alls cakap.” Dia tersengeh. Malu hendak berterus-terang. Tapi dia tidak mahu dianggap sombong.
            
“Oh, patutlah kalau ditegur senyum saja.” Mereka sama-sama tertawa.
            
Sudah empat hari Nurin Umaira di Kuala Terengganu. Dia sudah mampu memujuk hatinya yang rawan. Cuma rindu masih mengetuk hati. Biarkanlah, jika dia sebok dengan urusan kerja, dia akan lupa tentang perasaan.
            
Namun bila dia memandang langit yang dipenuhi bintang di Pantai Batu Burok itu, hatinya kembali merintih. Haruskah dia cuba menelefon Izhan dan memberitahu lelaki itu yang dia setuju dengan rancangan lelaki itu untuk kahwin lari ke Thailand. Kerana saat ini dia tidak sanggup lagi hendak menahan rindu.

*** 
Seperti malam-malam sebelumnya, Khairil Izhan akan leka bermain karom dengan adik-adik Umaira. Jika selama ini dia langsung tidak cekap bermain, namun sekarang dia sudah bijak menghantar buah ke jaring.
            
Haji Noordin mengambil angin di luar rumah. Dia memandang langit yang diterangi cahaya bintang. Hatinya jadi rindu pada si anak gadis. Satu-satunya anak perempuan kesayangan keluarga. Tadi dia ada melihat Instagram Umaira, gambar langit yang Umaira share di Instagram seolah menceritakan tentang hati anaknya itu.
            
“Termenung apanya, bang?”
            
Segelas kopi panas dihulur kepadanya.
            
“Teringatkan anak kesayangan..”
            
“Umaira kan dah besar, dia dah boleh jaga diri sendiri.”
            
“Itu abang tahu, tapi abang tetap risau. Dia perempuan..”
            
“Abang doa yang baik-baik sajalah.” Hajah Hasmah melabuhkan punggungnya di atas pangkin di sebelah suaminya. Ada yang ingin ditanyakan. Siang tadi sewaktu dia ke pasar, dia terdengar bualan kawan-kawannya.
            
Bukan dia tidak pernah mendengar umpat tentang anak gadisnya itu, namun yang kali ini dia rasa sedikit terkesan.
            
Awalnya Hajah Hasmah memang tidak setuju dengan tindakan suaminya, yang ingin menguji Khairil Izhan. Namun dia tidak membantah kerana dia juga inginkan suami yang terbaik buat satu-satunya anak perempuannya itu.
            
“Kenapa ni?” Pehanya di tepuk Haji Noordin.
            
“Orang kampung dah mula bercakap fasal Khai..” Suaranya perlahan namun masih boleh didengar Haji Noordin.
            
“Dia orang cemburu tu, sebab ada juga yang teringin nak Khai jadi menantu dia orang.”
            
“Tapi dia orang cakap kita ni belum apa-apa lagi dah nak pilih menantu kaya. Kalau tiba-tiba tak jadi hubungan kakak dengan Khai tu macam-mana? Runsing saya ni, bang.”
            
Haji Noordin hanya mendiamkan diri. Dia faham dan dia juga sudah banyak berfikir.
            
Sepanjang beberapa hari Khairil Izhan tinggal bersama mereka, dia tidak nampak cacat cela lelaki itu di matanya. Dikejut jam 3 pagi untuk Qiamullail dan Solat Tahajud pun dia tidak nampak mengantuk dan tenang sahaja. Bacaan Al-Quran nya juga lancar. Tidak kekok walaupun disuruh membantunya di kebun. Berpanas dan berpeluh badan dek kerana membersihkan kebun milik Haji Noordin. Boleh saja memegang cangkul, sabit mahupun penyapu. Hairan juga, betah sahaja anak London itu membuat kerja.
            
Jadi di fikirannya, untuk apa lagi dia hendak menguji, nampaknya Khairil Izhan telah lulus cemerlang.
            
Beberapa orang rakannya ada berbisik, sangat sesuai dibuat menantu. Beruntung sungguh, dan tepat sangat pilihan Umaira. Hikmah disebalik lamaran yang ditolak, adalah jodoh yang lebih sempurna.
            
“Abang setuju dia jadi menantu kita. Nanti abang akan bercakap dengan Along, Angah dan Uda. Adik-adik Umaira semua setuju, lagi-lagi Bob. Mana tidaknya, Khai tu sekepala dengan dia. Panjat pokok pun jadi dia berdua tu.”
            
Kedua pasangan suami isteri itu menghela nafas panjang. Hanya ada seorang sahaja anak perempuan, namun cabaran yang dihadapi sangat besar bagaikan ada sedozen bilangannya.
            
“Abang dah impikan sebuah majlis perkahwinan yang meriah. Dia satu-satunya anak perempuan abang, abang nak yang terbaik untuk dia.”
            
“Sayapun.”
            
“Jadi setuju lah dengan Khai tu?”
            .
Hajah Hasmah tersenyum dan mengangguk.
            
“Dia baik, dan tak nampak berpura-pura. Sejak dia ada tinggal dengan kita, ramai pula yang ramah nak bertegur sapa dengan saya, cuma itulah, yang mulut tak ada insurans tu, suka duk mengumpat, mengata yang bukan-bukan.”

            
Peha Hajah Hasmah, Haji Noordin tepuk perlahan. Jika isterinya sudah setuju, dan dia sendiri merasakan keserasian dengan Khai, apa lagi yang hendak di uji tentang lelaki itu. Cuma sekadar memenuhi syarat seminggu seperti yang telah dipersetujui sebelum ini, dan selepas itu dia sendiri yang akan memberitahu Khairil Izhan di manakah anak perempuannya kini bersembunyi.


, ,

No comments:

Post a Comment